Kaji Semula Kursus Kemasukan Pelajar Ke Universiti Timur Tengah

GURUN - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan kajian dilakukan bagi mengembalikan semula kursus khas kemasukan pelajar aliran agama ke universiti di Timur Tengah, yang dimansuhkan kira-kira 10 tahun lepas.

Timbalan perdana menteri berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam diminta mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mewujudkan semula kursus itu.

Katanya dengan adanya kursus khas itu, pelajar aliran agama di negara ini tidak lagi perlu melalui kuliah peralihan di universiti di negara Timur Tengah yang melibatkan kos yang tinggi.

"Pelajar daripada sekolah pondok, sekolah agama atau maahad tahfiz yang mahu melanjutkan pelajaran di Timur Tengah khususnya di Universiti Al-Azhar mengikuti kursus khas ini dan melalui peperiksaan yang dikendalikan oleh universiti berkenaan.

"Dari situ, mereka terus pergi ke Universiti Al-Azhar tanpa melalui kuliah-kuliah peralihan sebagaimana yang sedang berjalan sekarang ini di Universiti Al-Azhar kerana sistem itu (kursus khas) telah dihapuskan oleh Kementerian Pendidikan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Jerai di sini Jumaat.

Turut hadir ialah Jamil Khir yang juga Ketua UMNO bahagian Jerai.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata beliau sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa dalam pelaksanaan kajian berkenaan sebelum hasilnya dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.

Beliau berkata sekiranya kursus khas berkenaan diluluskan, kerajaan seterusnya akan mengadakan rundingan dengan negara-negara terlibat bagi mengiktiraf kursus itu, sekaligus menerima kemasukan pelajar ke universiti di negara berkenaan.

Katanya sebuah pusat pengajian juga akan diwujudkan bagi menjalankan kursus khas berkenaan serta mengkoordinasi peperiksaan kemasukan ke universiti pilihan mereka.

Ahmad Zahid berkata beliau menjangkakan kursus khas berkenaan dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.

Ditanya sama ada pemansuhan kursus khas berkenaan sebelum ini menjejaskan kemasukan pelajar ke universiti di negara-negara berkenaan, beliau berkata jumlah pelajar tidak berkurangan, namun ia sedikit menyukarkan pelajar masuk ke universiti tersebut.

"Mereka terpaksa mengikuti kuliah tambahan untuk ikuti ujian peralihan dan ujian ini dilakukan di negara berkenaan serta melibatkan kos yang tinggi," katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada persidangan perwakilan UMNO itu, Ahmad Zahid mahu setiap bahagian UMNO meraikan kombinasi pemimpin baharu dan lama bagi memperkuatkan bahagian masing-masing.

Katanya potensi kemenangan UMNO dan BN pada pilihan raya umum akan datang bakal meningkat sekiranya anggota UMNO dari pelbagai peringkat umur bersatu dalam menghadapi pelbagai cabaran. - BERNAMA