KBS Sasar 6 Juta Penyertaan Hari Sukan Negara 2016 – KJ

SUNGAI PETANI – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan enam juta penyertaan pada Hari Sukan Negara (HSN) 2016 yang akan disambut pada 8 Oktober depan. Menteri berkenaan Khairy Jamaluddin berkata ini susulan sambutan memberangsangkan pada HSN tahun lepas yang menerima kira-kira lima juta penyertaan.

“Tahun lepas, KBS menyasarkan tiga juta penyertaan namun ia melepasi jumlah itu apabila kira-kira lima juta orang menyertai HSN 2015,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan HSN 2016 berjumlah RM1.5 juta kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di 15 kawasan Parlimen Kedah di sini, semalam.

Beliau berharap sasaran itu mampu dicapai sekali gus mewujudkan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan dan mengurangkan masalah kesihatan serius seperti kencing manis,jantung, darah tinggi dan obesiti.

“Penyakit ini dapat dielak kerana ia berkaitan gaya hidup…hanya kira-kira 40 peratus rakyat negara yang bersukan tiga kali seminggu manakala 60 peratus lagi tidak berbuat demikian,” katanya.

Khairy berkata melalui aktiviti bersukan di peringkat akar umbi, ia mampu melahirkan lebih ramai atlet yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

“Dari peringkat kampung atau pedalaman, mungkin akan melahirkan atlet peringkat kebangsaan yang seterusnya boleh mengharumkan nama negara seperti Pandelela Rinong Pamg dan Mohd Azizulhasni Awang,” katanya. – BERNAMA