KDN Warta Larangan Empat Penerbitan Memudaratkan


KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengingatkan semua pihak kerajaan telah mengenakan perintah larangan ke atas empat penerbitan bertajuk pada 14 Jun lalu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, penerbitan itu ialah Pergolakan Pemikiran Islam: Catatan Harian Ahmad Wahib, Malaysia And The Club Of Doom: The Collapse Of The Islamic Countries, Torture In Malaysia Prisons: Who You Didn’t Know And Need To Know To Act dan The Koran: A Very Short Introduction.

“Warta perintah larangan ini adalah mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

“Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan,penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Alwi berkata, keempat-empat penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, mungkin memudaratkan kepentingan awam, mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang atau mungkin memudaratkan kepentingan negara.

Jelasnya, tiga daripada empat penerbitan tersebut didapati mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan dan boleh menimbulkan salah faham mengenai pelaksanaan dan amalan agama Islam di negara ini atau bertentangan dengan ajaran dan akidah Islam yang sebenar mengikut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, sebuah lagi penerbitan tersebut pula mengandungi fakta yang tidak benar dan boleh mengelirukan pandangan orang ramai terhadap institusi keselamatan dalam negara.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliknya merupakan suatu kesalahan dan boleh dipenjarakan maksimum tiga tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

“Sekiranya masyarakat mendapati masih terdapat penerbitan yang mungkin melanggar undang-undang negara diedarkan di pasaran, aduan boleh dibuat kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN di talian telefon 03-88868047 atau faks 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang moha.spab.gov.my,” katanya. –Kedahnews.com