KE7B Umum Sertai Perlumbaan Lasak Euro Norcha

KUALA LUMPUR – Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B) akan menyertai Kejohanan Siri Perlumbaan Lasak Euro Norcha di Alta Tamega, Portugal pada 22 hingga 27 September ini.

Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, kejohanan pada kali ini sangat menguji mental dan fizikal peserta.

“Siri perlumbaan ini merupakan kejohanan ‘adventure racing’ yang cukup lasak.

“Ia berformatkan ‘expidition racing’ selama 72 jam sejauh 350 kilometer perlumbaan tanpa henti.

“Setiap pasukan terdiri daripada empat anggota iaitu tiga lelaki dan seorang wanita perlu bersama-sama dengan anggota kumpulan dari mula sehingglah tamat perlumbaan dalam usaha menjayakan misi tersebut,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mokhles; Presidennya, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan Pengarah SNR Adventure Consultant, Shamsuri Abdul Latif.

Misi berkenaan dianjurkan bersama KE7B dengan SNR Adventure Consultant dan pasukan Malaysia akan dikenali sebagai KE7B SNR Malaysia.

Tambah Shahrul, antara aktiviti yang harus dilakukan oleh setiap pasukan adalah kayak laut, basikal bukit, navigasi, stand u paddle, rentas tali dan akhir sekali berenang.

Sementara itu, Akmar Hisham pula berkata, kejayaan KE7B menyertai Siri Perlumbaan Lasak Euro Norcha merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan.

Jelas beliau, penyertaan dalam perlumbaan itu terhad kepada 30 pasukan sahaja dari seluruh dunia dan atas jemputan khas oleh penganjur iaitu Adventure Racing Euro Series.

“Wakil Malaysia boleh dianggap mewakili Asia dalam siri perlumbaan kali ini kerana tidak ada pasukan lain dari benua itu menyertainya,” katanya.

Beliau melahirkan keyakinan pasukan KE7B mampu mengharumkan nama negara.

Seramai empat atlet yang akan mewakili Malaysia dalam kejohanan tersebut. Namun yang hadir pada sidang media yang diadakan sebentar tadi ialah ketua pasukan, Suhaimi Mohammdin dan Mohd Shukri Sulaiman.

Manakala Laurel Lauridson dan Stephanie Chok tidak dapat menghadirkan diri atas sebab-sebab tertentu. –Kedahnews.com