Kebakaran Tragis Pondok Pak Ya Abadi Dalam Ingatan


KEJADIAN tragis menggemparkan negara 27 tahun lalu di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya sudah pasti menjadi lipatan sejarah yang sukar dipadam buat keluarga yang melaluinya.

Kebakaran membabitkan asrama puteri pondok terbabit pada 22 September 1989 sudah pasti mengimbau peristiwa pahit yang masih terpahat di sanubari, mengakibatkan 27 pelajar terkorban.

Apatah lagi, kesemua 27 syuhada kini disemadikan di tanah perkuburan khas tidak jauh dari lokasi kejadian dekat Padang Lumat, Yan, Kedah.

Ia juga dilihat memudahkan ahli keluarga, saudara dan sahabat menziarahi perkuburan itu selain mengingati musibah yang menimpa mereka pada pagi Jumaat itu.

Di pusara mereka yang mengharum, terkubur bersama impian dan harapan yang kini menjadi doa yang dititipkan saban waktu.

Arwah paling manja dalam keluarga

Salah seorang mangsa yang terkorban, Rohani Shaari, 16, merupakan anak kepada pasangan Zabedah Che Mat dan Shaari Man (kedua-duanya sudah meninggal dunia) dari Kampung Padang Buluh, Sidam Kiri.


Kakak Rohani, Che Mah Shaari, 54, menceritakan, kejadian menimpa anak kelima dari tujuh beradik itu amat mengejutkan keluarga memandangkan dia merupakan antara yang paling manja dalam kalangan semua beradik.

“Kami dapat tahu sekolah dia terbakar, ingatkan terbakar macam biasa dan rosak sikit-sikit aja pada malam itu, maklumkan pada ketika itu teknologi tidak secanggih masa kini, maklumat boleh sampai dengan cepat.

“Awal pagi keesokan harinya, mak ayah pun keluar menoreh macam biasa. Bila siap menoreh, ayah bawa seorang lagi adik, Norhayati (kakak kepada Rohani) ke sekolah tengah hari itu nak tengok kesan kebakaran dan melawat Rohani.

“Ketika dalam perjalanan, ayah dah pesan pada Norhayati, biar apa pun yang berlaku, jangan sesekali mengalirkan air mata, kita kena kuat, pada masa itu kami masih yakin adik dalam keadaan selamat.

“Sesudah sampai sahaja di sekolah, barulah ayah dapat tahu Rohani juga tersenarai antara pelajar yang terkorban,” katanya.

Menurut Che Mah, selepas perkhabaran itu diterima, luluh hati seseorang yang bernama ayah, Shaari antara orang terawal yang tidak mampu menahan sebak sehingga dia sendiri menangis sebaik sahaja berita sampai ke telinganya.

Katanya, jenazah pada ketika itu sudah pun dibawa ke hospital dan meminta ahli keluarga membuat pengecaman agar proses pengebumian berjalan lancar.


Menceritakan suasana di hospital, difahamkan, sudah ramai ibu bapa yang menunggu untuk mendapatkan maklumat berkaitan anak masing-masing.

Ada yang masih belum dapat berjumpa dan tidak mengetahui status sebenar, ada yang masih dirawat akibat melecur dan yang baru mendapat berita sedih juga tidak mampu menahan kesedihan.

 Tunggu berita dari rumah

Katanya, ketika itu dia sekeluarga ada di rumah menunggu berita dari ayah sambil menikmati buah rambai dari pokok di belakang rumah.

“Sejurus sahaja mendapat berita kematian, hati tersentak. Buah rambai yang ada di mulut terus dicampak keluar secara tidak sengaja.

“Sebak rasa di hati kerana adik yang baru sahaja ditemui beberapa hari sebelum pulang ke asrama kini dimaklumkan sudah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya sebak.

Che Mah berkata, mereka tidak mampu menatap wajah adik kesayangan buat kali terakhir memandangkan urusan pengebumian perlu dilakukan dengan segera dan lancar namun menyerahkan kepada ahli keluarga terdekat sahaja.


Ibu saudara yang memandikan jenazah di hospital pula memaklumkan bahawa jenazah arwah terbakar menyebabkan sebelah tangan dan kakinya terputus.

Namun wajahnya masih kelihatan cantik, terdapat tahi lalat manis di bibir dan kesan rantai leher juga jelas kelihatan.

Ketika itu, kenangan bersama arwah terus berlegar-legar termasuk sifatnya yang penyayang, suka melayan anak saudara dan suka bermanja dengan adik-beradik.

Arwah jamu kacang potong

Menurutnya, kali terakhir bercuti di rumah, arwah menjamu keluarga dengan kacang potong yang dibuat sendiri.

"Apabila kami tegur dia buat apa, bimbang lambat ke asrama kerana nak siapkan makanan tu, dia merajuk sekejap tetapi teruskan buat juga setelah dipujuk.

“Semua adik-beradik dan ipar dapat merasai kacang potong yang dia buat, itulah kali pertama dan terakhir dia jamu kami semua makan dan menjadi kenangan terindah apabila mengenangkan ‘kenangan’ itu yang ditinggalkan pada kami,” katanya.

Disebabkan terkenang arwah adiknya setiap kali berdepan dengan dua hidangan tersebut, Che Mah menjadi tawar untuk menikmati keenakan kacang potong dan buah rambai selepas ‘ketiadaan’ Rohani.


Sebelum kejadian juga, arwah minta supaya semua baju baru dibawa ke asrama termasuk baju yang dihadiahkan salah seorang kakaknya, blaus merah yang turut dipakai semasa kejadian sehingga ternampak sebahagian kolar merah yang masih tinggal di badan arwah.

“Bukan itu sahaja, dia juga minta supaya kesemua barang kemas dibawa dan dipakai bersama.

“Dia ada beritahu kami nak bawa baju banyak sebab lama tak balik sebagai persiapan untuk peperiksaan dan nak belajar di asrama,” katanya.

Menurut Che Mah, sebelum ini, keluarga ada menyimpan gambar arwah yang disusun kemas, namun selepas beberapa kali bertukar tempat, gambar kenangan tersebut hilang dalam simpanan.

Bagaimanapun, kenangan di hati mereka bersama arwah masih segar terpahat sehingga ke akhir hayat.

Baginya, apa yang berlaku adalah ketentuan dan takdir ALLAH SWT, biarpun pahit dan pedih untuk ditelan, namun percaya ada hikmah yang besar telah tercatat buatnya.

Beliau juga mengharapkan agar sesiapa sahaja yang mengenali arwah arwah adik serta semua para syuhada dalam tragedi terbabit mendoakan yang terbaik agar roh mereka digolongkan dalam kalangan orang-orang beriman.

Dapat berita kebakaran dari radio

Azzahari Zakaria, 43, yang merupakan abang kepada salah seorang mangsa, Siti Mariam Zakaria, 13, masih belum tahu tragedi menimpa adiknya ketika itu.

Menurutnya, peristiwa itu hanya diketahui melalui siaran radio yang membuat pengumuman tergempar.

“Saya ketika pagi Jumaat itu sedang membasuh baju di rumah datuk di Simpang Empat Kangkong sambil mendengar siaran radio Kedah FM.

“Sedang mendengar lagu, tiba-tiba lagu dihentikan dan penyampai radio menyahut panggilan telefon daripada pendengar,” katanya ketika ditemui di Felda Teloi Timur di sini semalam.

Azzahari berkata, panggilan mengejut itu dibuat oleh pengetua Pondok Pak Ya ketika itu.

“Pengetua itu memaklumkan telah berlaku satu kebakaran di asrama pondok pada awal pagi.

“Beliau minta semua waris-waris yang mempunyai keluarga tinggal di asrama segera datang kerana ada kemalangan jiwa berlaku,” katanya.


Katanya lagi, mendengar perkhabaran buruk itu, dia bersama ayah saudara bergegas ke sana.

“Sampai di sana keadaan sedang huru-hara, orang ramai sedang memenuhi kawasan kebakaran termasuk pihak bomba yang sedang bertungkus lumus mencari mangsa.

“Kami juga turut mencari Siti Mariam dengan bertanya seorang demi seorang pelajar lain, namun masing-masing tidak mengetahui di mana adik saya, kelibatnya juga langsung tidak kelihatan.

“Akhirnya kami masuk ke pejabat dan bertanya salah seorang ustaz, saya dan ayah saudara diminta tunggu sebentar,” katanya.

Azzahari berkata, beberapa minit kemudian ustaz tersebut datang semula kepada mereka dan memaklumkan adiknya termasuk 27 mangsa terkorban.

“Dunia ini rasa gelap seketika, tetapi kami ditenangkan oleh ustaz tersebut.

“Ustaz itu kata, bertenang abang, mereka meninggal dunia dalam keadaan syahid,” katanya.

Mengimbau kembali dua minggu sebelum hari kejadian, Azzahari berkata, adiknya itu menunjukkan perubahan yang begitu ketara.

Menurutnya, Siti Mariam menyediakan secawan kopi kepadanya sebelum pulang ke pondok walaupun tidak pernah berbuat demikian selama ini.

“Adik kata, nah abang ni kopi yang aku bancuh kat hang buat kali terakhir.

“Dia juga salam dengan semua orang sebelum pulang termasuk saya, walhal adik tidak pernah buat macam itu sepanjang hayatnya,” katanya.

Tidak dapat terima kenyataan selama setahun

Manakala, seorang lagi ayah mangsa, Mihat Ramli 67, berkata, dia pengsan selepas mendapat tahu anaknya, Nur Asiah, 13, terlibat dalam kebakaran.

“Tiba di sekolah, pak long terkejut tengok keadaan pondok yang hangus terbakar.

“Waktu itu tidak tahu anak sudah meninggal dunia, pak long pengsan bila mendapat tahu anak dalam senarai orang hilang,” katanya .

Mihat berkata, dia tidak dapat menerima kenyataan selama setahun selepas disahkan Nur Asiah meninggal dunia.

Menurutnya, dalam tempoh itu, setiap hari dia akan ke Pondok Pak Ya dari rumah di Felda Teloi Timur.

“Selama setahun apabila pulang dari motong getah pak long akan bergegas ke pondok menaiki motosikal.

“Pak long cari di batas sungai belakang pondok, di kawasan kampung dan pondok,” katanya.


Katanya lagi, perasaannya pada setahun pertama kejadian itu berlaku seolah-olah anak sulungnya masih hidup.

“Perasaan kembali normal setelah pengasas pondok itu iaitu Tuan Guru Haji Yahya Junid menasihati pak long untuk menerima hakikat.

“Alhamdulillah sekarang sudah pulih, cuma perasaan itu masih kuat ingat pada Asiah,” katanya.

Selalu soal siapa meninggal dahulu

Sementara itu, ibu Asiah, Faridah Ismail, 59, berkata, sewaktu hidup Nur Asiah selalu menyoal adiknya siapa di antara mereka akan meninggal dunia terlebih dahulu.

Menurutnya, Asiah dan adiknya mempunyai tarikh lahir yang sama.

“Asiah lahir 27 Julai 1976 dan adiknya lahir 27 Julai 1982, setiap kali hari lahir mereka dia akan ulang soalan itu.

“Makcik selalu tegur dia jangan sebut macam itu, Asiah hanya mendiamkan diri,” katanya.

Faridah berkata, selama setahun dia tidak boleh melihat kenderaan kereta polis dan bomba kerana trauma.

“Makcik trauma tengok kereta bomba dan polis sebab waktu hari kejadian kedua-kedua kenderaan itu penuh dalam kawasan pondok,” katanya.

Al-Fatihah.



Sumber: Sinar Harian