Kedah Sudah Sedia Terima Kunjungan Negeri Sembilan


ALOR SETAR - Pasukan Kedah telah melakukan persediaan rapi dan kini berada dalam kedudukan terbaik bagi menerima kunjungan pasukan Negeri Sembilan untuk pertarungan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman pada 17 September ini.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Aminuddin Omar dalam kenyataannya hari ini menjelaskan bahawa prestasi skuad Helang Merah yang terkini berada di tahap terbaik untuk meneruskan langkah ke peringkat seterusnya.

"Pasukan kita telah pun bersedia untuk pusingan kedua ini di laman sendiri. Saya harap pasukan kita akan bermain bermati-matian untuk kita layak ke peringkat yang seterusnya di dalam kancah Piala Malaysia nanti.

"Kita melihat perkembangan yang cukup menarik dalam pasukan bola sepak kita hari ini yang mana kalau dalam liga (Super), kita duduk di tangga ketiga," katanya ketika ditemui mewakili Menteri Besar Kedah di Majlis Penyerahan Lembu Korban sempena Hari Raya Korban di Sri Mentaloon, tengahari tadi.


Mengulas mengenai prestasi pemain import Kedah, Exco Belia dan Sukan Kerajaan Negeri Kedah itu juga berpandangan bahawa wujud perkembangan positif pada Thiago Augusto khususnya dari sudut keserasian berpasukan dan peningkatan skill kemahiran.

Selain itu, beliau turut mengharapkan agar Shane Smeltz dapat mengembalikan tempo kehebatan sebenar yang ada pada penyerang kelahiran New Zealand itu sebagaimana aksi-aksi awalnya bersama Helang Merah.


Menurut beliau, jika dilihat pada sasaran awal, pasukan Kedah mensasarkan untuk menempatkan diri di dalam senarai 5 pasukan terbaik Liga Super musim ini, namun kini pasukan Helang Merah telah berjaya memperkukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga tersebut.

Oleh itu katanya, KFA amat berharap agar pasukan Kedah dapat mengekalkan kedudukan tersebut atau memberi cabaran sengit kepada pasukan di puncak liga bagi baki 5 perlawanan liga itu.

Namun begitu, Aminuddin turut mengingatkan agar tidak memandang rendah bagi mengatasi cabaran pasukan Negeri Sembilan di suku akhir nanti dan pasukan Kedah harus memperguna kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menewaskan pasukan berkenaan. -Kedahnews.com