Kelebihan 10 Hari Pertama Zulhijjah, 10 Peristiwa Penting

RASULULLAH SAW bersabda:
“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari pertama Zulhijah. Para sahabat baginda bertanya: apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah?. Sabda baginda: tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun.” - Riwayat Bukhari
ANTARA JENIS AMALAN YANG DIGALAKKAN:

1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Antara sabda Rasulullah SAW:
“Satu umrah ke umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan antara kedua-duanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan syurga.”
2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya, terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah antara amalan terbaik sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadis qudsi :
“Puasa itu adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata kerana-Ku”.
Sabda Rasulullah SAW:
“Tiada seorang pun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya daripada api neraka sejauh 70 tahun.” - Muttafaq ‘Alaih.
3. Takbir (Allahuakbar) dan berzikir pada-Nya, firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 28:
“Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum,”.
Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai 10 hari pada Zulhijjah. Para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar r.a. yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad:
“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allahuakbar) dan tahmid (Alhamdulillah).”
4. Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah.

5. Membanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan solat lima waktu secara berjemaah.

Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari Arafah (9 Zulhijah) dan bagi yang menunaikan haji takbir bermula pada waktu zohor Aidiladha (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijah.

7. Disyariatkan amalan korban pada Aidiladha dan hari-hari tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah).

8. Daripada Ummu Salamah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijah dan ada dalam kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah menahan dirinya daripada (memotong) rambut dan kukunya,”
Dan di dalam riwayat lain:
“Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.” - Riwayat Muslim
9. Setiap Muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat Aidiladha secara berjemaah dan menunggu mendengar khutbah yang dibacakan oleh imam.

Di sebalik Zulhijjah yang terkenal dengan bulan haji, ia juga mencatatkan beberapa peristiwa yang menjadi nadi dan titik-tolak kepada pengukuhan akidah dan pemantapan sahsiah serta kekuatan ukhuwah umat dalam meneruskan perjuangan Rasulullah SAW, antaranya:

1. Nabi Muhammad SAW membawa dagangan Khadijah ke negeri Syam, di sana baginda diberitahu tentang kenabiannya oleh pendeta Nasrani, ia berlaku pada tahun kelima sebelum pelantikan baginda menjadi nabi.

2. Peristiwa Baiah al-Aqabah (perjanjian setia al-Aqabah) pada tahun ke-13 selepas pelantikan baginda menjadi nabi, ia disertai oleh 73 orang lelaki dan dua wanita dari kaum Auz dan Khazraj.

3. Peperangan As-Sawiq pada tahun kedua Hijrah, Nabi SAW keluar mengekori kumpulan Abu Sya’ban yang menceroboh dan memerangi penduduk pinggir kota Madinah. Semasa melarikan diri mereka mencampakkan guni-guni gandum yang dibawa bagi mempercepatkan perjalanan supaya tidak dapat diekori oleh baginda.

4.Pada 7 Zulhijjah tahun kelima Hijrah satu kumpulan tentera Islam dihantar ke perkampungan Bani Sulaim yang diketuai oleh Ibnu Abi Al ‘Arjak.

5.Kelahiran Ibrahim, putera Nabi SAW pada tahun kelapan Hijrah,
ibunya bernama Mariyah al-Qibtiyah.

6. Pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi SAW mengerjakan ibadah haji yang dikenali dengan Hajjatul Wada’, baginda menyampaikan amanat-amanat yang kesemuanya adalah peraturan dan atur cara kehidupan dalam Islam.

7. Abu Bakar As-Siddiq mengerjakan haji bersama umat Islam selepas kewafatan Nabi SAW pada tahun 12 Hijrah.

8. Peperangan Dathin yang dipimpin oleh Umamah al-Bahiliy menentang tentera Rom, berakhir dengan kemenangan tentera Islam.

9. Kemenangan tentera Islam yang diketuai oleh Yazid bin Abi Sya’ban menentang tentera Rom yang dikepalai oleh Sarjius di dalam pertempuran Wadi Arabah di Palestin.

10. Pada tahun 23 Hijrah, Sayidina Umar al-Khattab meninggal dunia dibunuh oleh Abu Lu’luah al-Majusi.

11. Pelantikan Uthman bin Affan sebagai khalifah yang dipilih sebulat suara oleh sebuah majlis syura yang ditubuhkan oleh Umar sebelum kematiannya.

12. Pelantikan Ali bin Abi Talib sebagai khalifah menggantikan Uthman bin Affan

Sumber: Utusan