Kepala Paip Masjid Pun Dia Kebas!

Mohamed menunjukkan kepala paip plastik yang baru diganti disebabkan kepala paip sebelum ini hilang dicuri dalam kejadian awal pagi kelmarin.
KEPALA BATAS - Sebanyak 14 kepala paip di bahagian tandas dan tempat wuduk di Masjid Nurussaadah Lahar Tabut, di sini, lesap dicuri dalam kejadian awal pagi kelmarin.

Kejadian berkenaan disedari pengerusi masjid itu ketika beliau datang ke masjid untuk menjalankan kerja pembersihan di bahagian tandas kira-kira jam 9 pagi.

Mohamed Abdul Majid, 58, berkata, dia mulai syak sesuatu buruk berlaku apabila mendengar bunyi limpahan air.

“Jangkaan saya tepat, bila tengok bahagian tandas lelaki, paip semua telah tiada, saya pergi pula ke bahagian tandas wanita dan paip bahagian tempat ambil wuduk juga telah tiada,” katanya.

Katanya, kira-kira 14 kepala paip jenis keluli tahan karat hilang.

"Anggaran jumlah untuk setiap satu kepala paip bernilai hampir RM35.

“Memandangkan air banyak keluar saya terpaksa ganti dengan kepala paip plastik, nak buat macam mana, memang kena ganti untuk elakkan air terus melimpah,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu merupakan kejadian kedua yang berlaku dalam bulan ini.

“Sebelum ini kepala paip di bahagian tempat wuduk lelaki dicuri, ia juga jenis keluli tahan karat.

“Mungkin bentuknya agak menarik dan mempunyai harga di pasaran menyebabkan kepala paip ini menjadi sasaran pencuri,” katanya.

Mohamed berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar selepas Subuh.

“Masa waktu Subuh, kepala paip semua ada lagi. Mungkin ia berlaku selepas daripada itu, apa-apa pun saya berharap kejadian ini kali terakhir berlaku di masjid ini,” katanya.

Katanya, buat masa ini pihak jawatankuasa masjid akan menambahkan bilangan kamera litar tertutup di bahagian berkenaan.

“Kalau nak kunci tandas tak boleh, tandas ini kegunaan orang ramai, jemaah yang datang ke masjid, kalau kunci nanti susahkan jemaah yang datang pula,” katanya.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pelakunya.

Sumber: Sinar Harian