Kerajaan Akan Kaji Cadangan Kerja 6 Jam Sehari - KSN


SHAH ALAM - Cadangan agar tempoh bekerja penjawat awam di kurangkan daripada enam jam sehari berbanding lapan jam pada masa ini, akan dikaji oleh kerajaan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, perkara ini perlu penelitian kerana pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum cadangan ini dimuktamadkan oleh kerajaan.

"Sebenarnya ada beberapa agensi kerajaan terutama di UTC (Pusat Transformasi Bandar) mempunyai syif kerja selama 14 jam dan mereka bahagikan kepada dua syif iaitu tujuh jam bagi setiap kakitangan.

"Memang ini (waktu bekerja yang pendek) telah diamalkan. Walau bagaimanapun, kita akan lihat terlebih dahulu apa perlunya bekerja enam jam, semua ini akan dikaji oleh kerajaan," katanya petik laporan media tempatan semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Khisnam meminta kerajaan agar mempertimbangkan supaya mengurangkan waktu bekerja dalam sehari di negara ini.

Mengambil Sweden sebagai contoh yang telah memperkenalkan sistem bekerja enam jam sehari setelah menunjukkan hasil yang baik dan memberangsangkan kepada pekerja di negara berkenaan.

Sumber: Sinar Harian