Kereta Junam Masuk Sungai Di Pokok Sena, Kanak-Kanak Maut

ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun lemas manakala tiga ahli keluarganya terselamat selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Santap, Kampung Telaga Mas, Pokok Sena, dekat sini tengah hari semalam.

Dalam kejadian pada jam 1.30 tengah hari itu, semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Teriak menaiki kereta Proton Wira Aeroback selepas keluar membeli-belah di pekan Pokok Sena.

Mangsa, Muhammad Rizal Zakwan Mohd. Radzi, 5, ditemui lemas berhampiran lokasi kereta yang terjunam itu, manakala bapanya, Mohd Razi Mat Akib, 54, dan dua kakak, Nurul Rasyidah,15, dan Nurul Rasyiqah, 11, terselamat.


Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Nur Hafizah Mohammad Lukman, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.46 petang tadi sebelum menghantar jentera ke lokasi kejadian.


"Tindakan menaikkan kereta sedang dilakukan dan kanak-kanak itu ditemui berhampiran dengan lokasi kenderaan itu terjunam.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Sultanah Bahiyah dan mayat kemudiannya serahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.


Sumber: BH Online