Yusof terpaksa menjual motosikal untuk meneruskan kehidupan. |
KUALA KETIL - Kesempitan hidup memaksa seorang penoreh getah menjual motosikal bagi meneruskan hidup.
Yusof Khamis, 43, dari Kampung Charok Bakap berkata, dengan wang RM1,200 yang diperolehi dia bayar bil elektrik yang tertunggak sebanyak RM100.
Menurutnya, wang hasil jualan motosikal jenis Honda Wave 125 itu turut digunakan bagi membeli pam air baru yang sebelum ini rosak dan sebuah motosikal lama berharga RM500.
“Saya terpaksa jual motosikal, jika tidak kami sekeluarga terpaksa bergelap dalam tempoh lebih lama," katanya.
Yusof berkata, dengan pendapatan dalam lingkungan RM350 sebulan hasil mengambil upah menoreh, dia menanggung seorang anak berusia 14 tahun, seorang isteri dan orang tuanya yang buta.
Ibunya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.
Menurutnya, anaknya itu tidak lagi bersekolah akibat tidak berkemampuan menanggung kos perbelanjaan sekolah selain mengalami masalah daya fikiran.
“Anak hanya bersekolah hingga darjah enam sahaja, dengan pendapatan tidak menentu saya tidak mampu meneruskan persekolahannya.
“Lagi pun dia tidak beberapa boleh dalam pembelajaran, saya ada bercadang menghantar ke sekolah pondok tetapi ketika ini tidak ada duit,” katanya.
Keluarga itu kini tinggal di sebuah rumah usang dengan tiang rumah reput dimakan anai-anai, sementara atap rumah berlubang.
Difahamkan, keadaan keluarga ini turut mendapat perhatian Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pejabat Parlimen serta parti politik lain sebelum ini.
Sementara itu, Pengurus Lembaga Zakat Negeri Kedah, Cawangan Baling, Ahmad Mustaqim Zainal Abidin berkata, pihaknya akan membantu keluarga berkenaan.
“Pihak zakat akan kenal pasti jenis bantuan yang sesuai bagi keluarga ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian