Khalid Samad Dakwa PAS Keji Sebab Jadikan Agama Mainan Politik?

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) tidak akan menyokong usaha PAS untuk memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah selagi PAS tidak memberi penjelasan yang terperinci mengenainya.

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad berkata, PAN mahukan jawapan yang jelas daripada PAS, bukan jawapan yang retorik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, jika Abdul Hadi tidak mampu memberikan penjelasan yang kukuh, Presiden PAS itu akan dilihat melakukan perbuatan keji dengan menjadikan agama sebagai mainan politik.

“Walaupun Usul Persendirian yang dibawa Abdul Hadi dinyatakan mempunyai tujuan memperkasakan mahkamah syariah, namun isi kandungan usul tersebut perlu diperhalusi dari semua aspek sebelum ia mendapat sokongan PAN.

“Tiada yang lebih keji dari menjadikan agama bahan mainan politik,” tegasnya dalam satu sidang media hari ini.

PAN ditubuhkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS bagi menyertai Pakatan Harapan selepas PAS disingkirkan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada gabungan parti pembangkang.

Khalid mendakwa, usul persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah 1965 (Akta 355) didapati mengelirukan berdasarkan forum dan perbincangan meja bulat yang diadakan oleh PAN berhubung perkara tersebut. -Kedahnews.com