KJ Serah PenDrive TMJ Kepada SPRM


PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk menyerahkan pemacu pena ‘kontroversi’ yang dikatakan ada bukti penyelewengan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ketibaannya di perkarangan bangunan SPRM pada pukul 11.15 pagi Jumaat serta-merta diserbu oleh puluhan pengamal media yang sedia menunggu seawal 10 pagi.

Beliau yang lengkap berbaju Melayu sempat menunjukkan pemacu pena tersebut kepada media sebelum memasuki bangunan SPRM.

Pemacu pena tersebut yang didakwa mempunyai laporan sebanyak 279 halaman yang mengandungi pelbagai maklumat mengenai ketirisan dan salah laku di FAM, diserahkan kepada Khairy oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 26 Ogos lalu.

Tunku Ismail yang juga merupakan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) memutuskan untuk menyerahkan pemacu pena berkenaan kerana tidak mahu mempunyai sebarang masalah dengan FAM selain mahu memberi tumpuan kepada kelabnya. – BERNAMA