Suatu hari, seorang majikan yang gajinya mencecah RM30,000 sebulan pulang dengan wajah ceria. Sampainya di rumah, dia terus ke dapur dengan sampul surat berisi RM15,000 iaitu separuh daripada gaji yang baru diperoleh pada hari itu. Dengan tenang dia menghulurkannya kepada orang gajinya sambil berkata:
“Siti,mulai hari ini saya akan bahagikan separuh duit gaji kepada kamu. Mulai hari ini juga kamu boleh pakai apa sahaja kemudahan di rumah ini secara sama rata dengan saya. Kamu juga boleh guna semua kereta secara sama rata. Usah takut, kerana mulai hari ini kita bersekutu dalam pemilikan harta saya.”
Setelah mendengar cakap si majikan, orang gajinya ‘wajib sangsi’ sama ada majikannya mempunyai agenda jahat tersembunyi atau mengalami gangguan mental kronik. Lalu segera si orang gaji melaporkan ‘kepelikan’ itu kepada isteri majikannya agar segera membawa suaminya ke hospital.
Cerita di atas sangat tidak logik dan nampak bodoh. Begitulah juga hakikat bodohnya manusia yang cuba menyekutukan Allah dengan sembahan lain seperti tindakan Musyrikin Quraish pada zaman Rasulullah SAW dan semua Musyrikin sepanjang zaman. Tuntas sekali Allah menempelak mereka:
“Dia mengemukakan kepada kamu satu misal perbandingan daripada keadaan diri kamu sendiri, iaitu: relakah kamu menerima sebahagian daripada hamba abdi yang kamu miliki itu menjadi rakan kongsi kamu pada harta benda yang Kami telah kurniakan kepada kamu, supaya dengan penerimaan kamu itu, mereka dengan kamu menjadi sama-sama berhak padanya, sehingga kamu pun tidak berani (menguruskan harta benda itu dengan tiada persetujuan) mereka, sebagaimana kamu tidak berani (berbuat demikian dengan orang yang berkongsi dengan kamu - yang setaraf dengan) diri kamu? Demikianlah kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi orang yang menggunakan akal untuk memahaminya,” (al-Rum[30:28]).
Dalam ayat lain, Allah mengulang logik sama agar si bodoh penyembah berhala faham dan benar-benar hadam isu tauhid:
“Dan Allah telah melebihkan sebahagian daripada kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakan-Nya; dalam pada itu, orang yang diberi kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian daripada kelebihan hartanya kepada hamba-hamba mereka, supaya orang itu dapat sama mempunyai harta. Maka mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?,” (al-Nahl [16:71]).
Tempelak Allah dalam ayat di atas sangat logik bagi menafikan persekutuan-Nya dengan mana-mana makhluk. Jika sesama makhluk pun sudah ada rasa keakuan dan enggan berkongsi harta atau kuasa dengan orang lain terutama orang bawahan, bayangkan pula Keagungan Allah sebagai satu-satunya Tuhan alam semesta.
Kebebalan Musyrikin sezaman Rasulullah SAW tampak seakan mustahil berlaku kepada kita yang sudah bergelar Muslim pada hari ini. Tapi ia sebenarnya masih wujud tanpa disedari oleh sesetengah Muslim yang kurang cermat kerana kejahilan mereka.
Bagaimana? Lihat sahaja kepada orang yang terlalu percayakan ‘tulah daulat’ sesetengah manusia berpangkat atau orang yang terlalu beriman kepada ‘kuasa ajaib’ sesetengah tangkal azimat.
Juga sesetengah orang yang bertuhankan kerja dan majikan sehingga sebarang desakan kerja atau perintah majikan yang bercanggah dengan kehendak Allah, tetap dipatuhi. Kononnya jika tidak ditaati maka hilanglah pemberi rezeki.
Teguhkan iman dan tauhid anda. Janganlah musibah kebodohan Musyrikin Mekah turut melanda anda.
Sumber: Utusan