Kontinjen Paralimpik Bakal Diarak Sekitar KL Esok – KJ


SUKAN Paralimpik 2016 yang berlangsung di Rio De Janeiro, Brazil sejak 7 September sudah pun melabuhkan tirainya secara rasmi, awal pagi semalam.

Kontinjen paralimpik Malaysia yang terdiri daripada 21 atlet bertanding dalam sembilan jenis sukan pula dijangka tiba di tanah air pada 22 September ini (esok).

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam akaun Facebooknya mengesahkan satu upacara sambutan kepulangan wira-wirawati kontinjen paralimpik bakal diadakan di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

Lebih menarik, Khairy memberitahu, para atlet-atlet ini akan diarak sekitar pusat bandar Kuala Lumpur sebagai tanda penghargaan terhadap prestasi yang ditunjuk pada temasya di Rio itu.


“Saya jemput semua rakyat Malaysia untuk menyambut kepulangan atlet-atlet ‘luarbiasa’ bermula jam 2 petang di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

“Sambutan ini akan dimeriahkan lagi dengan konvoi perarakan atlet-atlet kita di pusat bandar Kuala Lumpur selepas acara sambutan di KLIA.

“Rakan-rakan yang bekerja di Kuala Lumpur berpeluang untuk memberi penghormatan kepada konvoi atlet para kita yang akan sampai di Jalan Tun Razak kira-kira pukul 5.30 petang.

“Dari sana, mereka akan bertolak dalam ‘open top bus‘ menuju ke KLCC melalui Jalan Ampang. Konvoi mereka akan berhenti seketika di pintu masuk Dewan Filharmonik Petronas sebelum menuju ke Pavilion melalui Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Chulan dan berhenti sekali lagi di pancutan air berhadapan pintu utama Pavilion di Jalan Bukit Bintang,” tulisnya.


Tambah Khairy, konvoi akan berakhir di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di ibu negara.

Dengan tamatnya temasya Paralimpik Rio 2016, Malaysia berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan satu pingat gangsa. –Kedahnews.com