KPM Akan Minta Laporan Penyakit Mental Kronik Pelajar


KUALA NERANG – Kementerian Pendidikan akan meminta laporan daripada Kementerian Kesihatan berkaitan gejala penyakit mental melibatkan pelajar, kata Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pihaknya akan meneliti laporan tersebut bagi mengetahui jumlah pelajar serta sekolah yang terlibat dalam kes berkenaan.

“Pelajar ada lima juta, jika sampel rambang pelajar hanya 1,000 orang, maka kajian itu tidak sesuai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di Dewan Kolej Mara Kuala Nerang di sini, semalam.

Perasmian persidangan itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar tempatan berhubung dua daripada 10 pelajar sekolah dikesan mengalami gejala penyakit mental kronik yang memungkinkan terbabit dalam jenayah dan gangguan kepada orang lain.

Penemuan itu diperoleh daripada hasil kajian Program Minda Sihat Menangani Stres Dalam Kalangan Murid Sekolah kendalian Kementerian Kesihatan membabitkan 30,000 pelajar yang disaring antara 2011 hingga 2015.

Mahdzir bagaimanapun berkata kaunselor di sekolah mampu untuk mengenal pasti tahap pelajar yang mempunyai masalah tersebut serta menanganinya menerusi pelbagai kaedah.

“Kaunselor boleh jejak pelajar yang mengalami penyakit tersebut dan jika ia kronik, perlu dirujuk ke pakar psikiatri,” katanya. – BERNAMA