KPN Saran Ahli Parlimen DAP Serah Diri

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menyarankan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi menyerah diri berikutan kenyataan tidak sensitif berhubung kematian Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Beliau berkata, Ahli Parlimen DAP itu bakal berdepan ditahan polis sekiranya gagal menyerah diri dalam masa terdekat.

“Serah diri jika mahu menjadikannya perkara yang lebih mudah, jika tidak kita (polis) akan cari dia.

“Siasatan sedang dijalankan dan dia (Jeff Ooi) perlu bersedia menghadapi apa juga tindakan undang-undang,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan PDRM Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, Jeff Ooi akan disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana menyebut perkataan-perkataan dengan sengaja dengan niat melukakan perasaan seseorang.

Baru-baru ini, Jeff Ooi memuat naik status "Adios Harun Din. Let there be peace" di twitternya mengenai kematian Mursyidul Am Pas itu.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan umat Islam walaupun Jeff Ooi mempertahankan dirinya dan menjelaskan maksud ‘adios‘ dalam bahasa Sepanyol ialah ‘farewell’ dalam bahasa Inggeris atau dalam bahasa Malaysia ialah ‘selamat jalan’.

Sementara itu, tiga individu berusia 50 hingga 62 tahun ditahan susulan memuat naik komen yang menyinggung perasaan dan menghina agama Islam di Shah Alam dan Ipoh, Perak hari ini. -Kedahnews.com