Kucing Ini Berjasa Bantu Pendaki Sesat Di Gunung Switzerland

GENEVA – Seorang lelaki yang tersesat jalan semasa meneroka kawasan pergunungan di Switzerland tidak menyangka dia akan ‘terhutang budi’ dengan seekor kucing.

Ini kerana hasil ‘bimbingan’ si comel berbulu hitam dan putih itu, lelaki warga Hungary tersebut berjaya kembali ke asrama tempat dia menginap, menurut laman berita Daily Mail.

Menceritakan kisah luar biasanya menerusi laman Reddit, lelaki itu berkata dia tersesat jalan di kawasan pergunungan di kampung kecil Gimmelwald, apabila terserempak dengan kucing yang manja itu di tepi bukit.

“Saya memeriksa peta saya untuk melihat bagaimana saya dapat kembali ke asrama itu, dan satu-satunya caranya ialah menerusi satu laluan yang sudah ditutup. Di situlah saya jumpa kucing yang cantik itu.

“Ia lihat saya semasa saya sedang makan snek dan berehat memandangkan buku lali saya terseliuh. Sebaik sahaja bangun, kucing itu mula bimbing saya ke sebuah laluan,” tulis pengguna Reddit menggunakan nama sc4s2cg itu.


Malah, katanya lagi, kucing yang manja itu asyik memandang ke arah dia dan merenungnya seolah-olah meminta dia mengekorinya, menurut laman Daily Mail. Dengan bantuan kucing tersebut, beliau berjaya turun ke lembah gunung dan kembali ke asramanya.

Lebih unik, menurut laman berita tersebut, pelancong lain yang turut mengunjungi kawasan yang sama malah ada berkongsi gambar dan kisah mereka dengan kucing yang sama.

Kucing itu sebenarnya milik pasangan yang mengendalikan sebuah asrama berhampiran kawasan itu dan kerap berjalan bersama-sama para pelancong di kawasan tepi gunung. – Agensi