Lafarge Tanggung Kos Cuci Rumah Penduduk Terjejas Debu Di Langkawi

LANGKAWI – Lafarge Cement Sdn. Bhd., syarikat pengendali kilang simen di sini, bersedia untuk menanggung kos pencucian ke atas harta benda penduduk di tiga buah kampung yang terjejas ekoran insiden debu yang terlepas dari kilang itu pada Aidiladha lepas.

Pengurus kilangnya, Sekar Kaliannan berkata apa-apa bentuk tuntutan lain yang dibuat penduduk kampung yang terjejas akan dibincangkan lebih lanjut dalam satu perjumpaan yang akan diadakan Sabtu ini.

“Setakat ini, apa yang kami setuju adalah kami setuju untuk membayar balik (kos) kerja pencucian (yang ditanggung penduduk kampung),” katanya kepada media selepas memberi taklimat tentang insiden itu kepada Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr. Leong Yong Kong dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan di kilang itu semalam.

Katanya Lafarge juga akan membuat langkah susulan untuk melaksanakan projek perlindungan insurans berkelompok untuk penduduk di kampung-kampung berdekatan kilang itu seperti yang dicadangkan oleh Nor Saidi semasa taklimat itu.

“Kami akan teruskan ‘social economic footprint’ yang kami akan buat untuk membantu kami mendapatkan lebih banyak lagi maklumat daripada penduduk di sini untuk menambah baik lagi apa yang kami buat,” katanya.

Semasa taklimat itu, Sekar berkata insiden debu dari kilang itu terlepas ke udara berlaku kira-kira pukul 9 pagi Isnin lepas ekoran kerja-kerja pembaikan satu daripada unit pemprosesannya yang tersumbat.

Arah tiupan angin ketika itu telah membawa kepulan debu itu ke Kampung Teluk Yu, Kampung Belibih dan Kampung Pasir Hitam sehingga mencemari kira-kira 1,000 buah kawasan rumah di situ.

“Kita tidak menjangka perkara ini berlaku dan ia belum pernah berlaku sebelum ini. Kami memohon maaf kepada semua penduduk kampung di atas kejadian ini dan akan memastikan ia tidak akan berulang di masa hadapan,” katanya.

Ekoran kejadian itu, pegawai-pegawai dari kilang berkenaan telah bertemu dengan penduduk terjejas untuk menjelaskan perkara yang berlaku dan mendapatkan maklum balas tentang bantuan-bantuan yang perlu diberikan.

“Insiden ini bukannya disengajakan sebab dalam keadaan biasa, debu yang berlebihan dari unit pemprosesan ini akan gugur dalam kawasan kilang ini sendiri dan bukannya dilepaskan keluar,” katanya dan menegaskan kilang itu beroperasi di bawah kapasiti maksimumnya semasa kejadian berlaku. – BERNAMA