Lelaki Berusia 145 Tahun Sudah Lama Sedia Untuk Mati


Berkemungkinan disebabkan usianya yang semakin lanjut membuatkan seorang lelaki yang dipercayai merupakan lelaki tertua di dunia sudah awal-awal lagi membuat persediaan bagi menghadapi kematian.

Memetik laporan Mirror.co.uk, Sodimejo atau dikenali sebagai Mbah Gotho yang berasal dari Sragen, Jawa Tengah, kini sudah berusia 145 tahun selepas satu pendedahan dilakukan oleh seorang pegawai Indonesia, baru-baru ini.

“Saya hanya mahu mati. Cucu saya sudah boleh berdikari,” kata Mbah, memetik laporan itu.

Dia yang dilahirkan pada 31 Disember 1870 itu sudah mempersiapkan diri sejak berusia 122 tahun lagi dengan menempah batu nisan pada tahun 1992 dan menyediakan tempat perkuburan yang berdekatan dengan anak-anaknya.

Sepuluh orang adik beradiknya sudah meninggal dunia termasuk empat isterinya yang terakhir sekali meninggal dunia pada 1988.


Semua anaknya juga sudah meninggal dunia dan kini tinggal bersama cucu dan cicitnya.

Mbah kini lebih gemar mendengar radio selepas penglihatannya kurang jelas apabila menonton televisyen.

Dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini, Mbah semakin lemah dan memerlukan bantuan cucu dan cicitnya untuk makan dan mandi.

Jika tarikh kelahirannya itu adalah benar seperti didakwa, Mbah Gotho akan diiktiraf sebagai manusia tertua yang kini rekodnya dipegang oleh seorang wanita Perancis, Jeanne Calment yang berusia 122 tahun. –Kedahnews.com