Lelaki Tipu Tawaran Kerja Di Hollywood Dipenjara 20 Bulan

Vincent (kanan) dibawa ke bilik rehat di luar kamar mahkamah selepas selesai prosiding mahkamah.
SUNGAI PETANI - Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin, kerana menerima wang dengan cara memperdaya seorang lelaki yang dijanjikan kerja di Hollywood pada Julai 2015.

Hukuman itu diputuskan oleh Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun selepas tertuduh, Vincent Sandpan, 47, dari Kulaijaya, Johor mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa.

Mengikut pertuduhan pertama, Vincent didakwa menerima wang sebanyak RM1,070 yang dimasukkan ke akaun Maybank kepunyaan Mohana Das Raja Gopal, di Mesin CDM Maybank Lagenda Height, di sini, dengan mengetahui itu adalah milik orang lain, pada 10 Ogos 2015.

Pertuduhan kedua, Vincent didakwa melakukan kesalahan sama dengan menerima wang sebanyak RM300 yang dimasukkan ke akaun Maybank kepunyaan Mohana Das Raja Gopal, di Mesin CDM Maybank Lagenda Height, di sini, pada 13 Ogos 2015.

Pertuduhan ketiga, Vincent turut didakwa melakukan kesalahan dengan menerima wang sebanyak RM300 yang dimasukkan ke akaun Maybank kepunyaan Mohana Das Raja Gopal, di Mesin CDM Maybank Lagenda Height, di sini, pada 16 Ogos 2015.

Pertuduhan keempat, Vincent turut didakwa melakukan kesalahan dengan menerima wang sebanyak RM200 yang dimasukkan ke akaun Maybank kepunyaan Mohana Das Raja Gopal, di Mesin CDM Maybank Lagenda Height, disini, pada 1 September  2015.

Untuk keempat-empat pertuduhan, Vincent didakwa menerima wang berkenaan dengan mengetahui wang itu adalah harta curi yang boleh dihukum mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Selepas menerima pengakuan bersalah daripada Vincent, Mohd Hadi Hakimi memerintah, tertuduh menjalani hukuman penjara selama lima bulan untuk setiap satu pertuduhan.

Beliau perintah setiap hukuman itu akan berjalan secara berurutan dari tarikh hukuman itu pertama.

Bagi hukuman penjara untuk pertuduhan pertama, Vincent akan bermula selepas selesai hukuman penjara yang dijalani kini di penjara Tapah Perak selama dua tahun.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Superintendan, Syamsul Sinring.

Mengikut fakta kes, Vincent didakwa menipu mangsa untuk mendapatkan kerja di Amerika Syarikat sebagai pekerja am di sebuah syarikat perfileman dan bagi urusan itu mangsa diminta memasukkan wang berkenaan.

Sumber: Sinar Harian