Lompat Parti, Bekas Naib Presiden Bayar RM5 Juta Pada PKR?

KOTA KINABALU – Adakah PKR akan menuntut wang ganti rugi sebanyak RM5 juta daripada Ahli Parlimen Penampang, Ignitius Darell Leiking kerana tergamak belot apabila keluar parti tersebut?

Atau Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail ‘lupa’ bahawa semua calon PKR diminta tandatangan borang jika mahu keluar parti kena bayar balik RM5 juta seperti didakwa mereka sendiri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Persoalan tersebut dibangkitkan oleh bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dalam status terbaharu menerusi laman Facebook miliknya, menurut portal AgendaDaily.

“Siapa masih ingat lagi… PKR pernah bagitahu pengundi bahawa jangan risau pasal isu wakil mereka lompat parti sebab sesiapa jadi calon PKR yang menang, tiba-tiba kemudian lompat parti itu akan kena bayar RM5 juta.

“Hari ini lompat seorang lagi… sejak PRU ke-13 sampai sekarang berapa juta sudah PKR kutip…? Atau ke janji masa itu hanya untuk sedap halwa telinga sahaja…?” tulis Badrul Hisham yang dipecat PKR secara zalim baru-baru ini.

Untuk rekod, Wan Azizah telah menerima keputusan Darell yang juga Naib Presiden PKR untuk meletakkan jawatan dan menyertai parti tempatan Sabah diterajui bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Pada 2013, PKR melalui Timbalan Setiausaha Agungnya, Steven Choong ada berkata PKR telah mewajibkan semua calonnya yang menang dalam PRU ke-13, membayar ganti rugi RM5 juta kepada parti jika mereka melompat parti.

Amaun mencecah setinggi RM5 juta itu dikenakan sebagai usaha terdesak PKR bagi membendung kes pembelotan ramai wakil rakyat mereka yang pernah ‘menghantui’ parti tersebut selepas PRU ke-12 pada 2008 sebelumnya.

“Selepas menerima surat pelantikan untuk bertanding PRU, jika mana-mana calon menarik diri sebelum hari penamaan calon atau melompat parti selepas menang, dia perlu membayar ganti rugi RM5 juta kepada parti.

“Justeru, mereka perlu menandatangani surat akujanji. Jika anda bersedia menerima surat pelantikan itu, maka anda tidak boleh berpatah balik,” kata Steven yang dipetik pelbagai media tempatan termasuk propembangkang.

Dalam satu kenyataannya pada Khamis, Wan Azizah bagaimanapun tidak menyentuh isu ganti rugi tersebut malah berkata, pertemuan telah diadakan bersama-sama Darell untuk membincangkan mengenai masa depan politiknya.

“Darell telah memaklumkan kepada kami bahawa beliau akan menyertai sebuah parti politik tempatan (di Sabah) dan bersatu dalam usaha menegakkan agenda (pembaharuan) pergerakan reformasi dan keadilan.

“PKR menerima keputusan beliau kerana komitmen yang ditunjukkan untuk menentang Barisan Nasional. Kami percaya, dengan angin perubahan, ramai lagi akan turut serta dalam perjuangan Reformasi,” kata Wan Azizah.

Semalam, Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen Semporna mencetuskan kejutan banyak pihak apabila mengesahkan bahawa beliau telah mengambil alih sebuah parti politik di Sabah yang ditubuhkan sejak 2013.

Menurutnya, parti sedia ada tersebut kini dalam proses pembaharuan semula selain permohonan untuk pertukaran nama dan logo serta telah dihantar terus kepada pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di Putrajaya.

Bagaimanapun, Mohd. Shafie enggan mendedahkan nama baharu serta nama parti yang telah diambil alih itu bagi menghormati beberapa pihak dan pengumuman hanya akan dibuat selepas mendapat kelulusan daripada RoS.

Portal The Star turut melaporkan ADUN Moyog, Terrence Siambun dijangka mengikut jejak langkah Darell untuk keluar daripada PKR, sekali gus bakal memberi tamparan hebat kepada parti pembangkang tersebut di Sabah.

Ini bermakna PKR kini hanya memiliki 28 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat setelah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak) dipecat pada 2014. Di peringkat DUN Sabah pula, PKR sekarang hanya tinggal enam wakil.

Terdahulu, ADUN PKR Kadamaian, Jeremmy Ukoh Malajad mengumumkan keluar parti selain ADUN DAP Luyang, Hiew King Cheu apabila kedua-dua wakil rakyat itu menjadi ahli Bebas pada 2013. – Agensi