Mahathir Marah, Kecewa Agong Tolak Deklarasi Guling Mohd Najib

Media propembangkang sebelum ini kecoh melaporkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan deklarasi yang konon ditandatangani sejuta rakyat Malaysia.

Lucunya Deklarasi Rakyat yang menggesa Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak meletakkan jawatan sebegai perdana menteri konon disertai 1.4 juta individu itu menyaksikan Mahathir datang ‘lenggang kangkung’ ke istana baginda.

Lebih kelakar media hanya melaporkan mengenai perjumpaan tersebut tanpa memberikan sebarang maklumat lanjut, apatah lagi tiada sebarang sidang media oleh Mahathir sendiri atau kenyataan akhbar beliau selepas itu.

Akhirnya terbongkar kisah menarik di sebalik pertemuan tersebut apabila Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dilaporkan enggan mencampuri urusan politik yang sengaja direka oleh Mahathir sekali gus menolak deklarasi itu.

Menurut sumber rapat dengan bekas Perdana Menteri itu, pihak istana melihat gerakan Mahathir itu sebagai satu cubaan pencabulan sistem demokrasi serta menidakkan hak pengundi yang memilih dalam pilihan raya umum lalu.

Mahathir dikatakan berasa marah dan kecewa dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong itu kerana usaha untuk menabalkan anaknya sendiri, Mukhriz sebagai pengganti perdana menteri akhirnya langsung menemui jalan buntu.

Mulanya Mahathir dilaporkan media propembangkang cukup teruja apabila beliau berjaya masuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Bukit Malut yang merupakan Istana Hinggap Rasmi Sultan Kedah di Pulau Langkawi.


Bagaimanapun menurut sumber yang rapat dengan kumpulan Mahathir, mereka amat kecewa memandangkan Seri Paduka sendiri telah menolak permintaan Mahathir untuk menyingkirkan Najib daripada jawatan beliau tersebut.

Sebaliknya Tuanku Abdul Halim dikatakan enggan campur tangan urusan politik. Patutlah Mahathir tunduk diam ketika keluar dari istana memasuki keretanya pada masa itu menurut cerita penulis politik, Raja Petra Kamarudin.

Jika Mahathir bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ingin meneruskan niat mereka, maka ia perlulah melalui proses Perlembagaan dan Demokrasi sedia ada iaitu bertanding secara gentleman dalam pilihan raya.

Mahathir selama ini telah berusaha untuk menghadap Seri Paduka sejak beberapa bulan yang lepas sehingga beliau tergamak menuduh Yang di-Pertuan Agong menjadi ‘tahanan rumah’ apabila beliau pula gagal berbuat demikian.

Terdahulu beliau melancarkan Deklarasi Rakyat pada 4 Mac selepas bekerjasama dengan tokoh-tokoh politik tanah air di ibu negara untuk misi menyingkirkan Najib selepas mengisytiharkan keluar UMNO pada 29 Februari lalu.

Pada Mei, Mahathir kemudian mengumumkan bahawa deklarasi berkenaan telah melepasi sasaran sebanyak satu juta tandatangan walaupun angka tersebut dipertikaikan banyak pihak ketika dua pilihan raya kecil berlangsung.

Sebelum itu, pengatur cara komputer bebas, Azharuddin Othman, mengaku terlibat dengan urus niaga penjualan pangkalan data penduduk negara ini bagi mendapatkan 1.2 juta tandatangan untuk projek Deklarasi Rakyat.

Dia turut mendakwa kesemua tandatangan dalam deklarasi tersebut adalah palsu dan perlu disiasat oleh pihak berkuasa. Pendedahan secara mengejut itu nyata amat memalukan Mahathir dan imej pihak pembangkang.

Para penganalisis politik turut berpendapat Mahathir tahu penyerahan Deklarasi Rakyat kepada Seri Paduka tiada nilai sama seperti isu penyerahan Petisyen Pembaharuan Pilihan Raya Bersih kepada Istana Negara pada 2007.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menjelaskan bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha dibuat oleh Pengerusi Penaja PPBM itu kerana deklarasi yang diperjuangkan oleh mereka pun tidak mengikut Perlembagaan.

Seri Paduka seterusnya menjelaskan bahawa sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim iaitu melalui sistem Parlimen dan proses pilihan raya bagi rakyat sendiri dapat membuat langsung keputusan mereka.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Perdana Menteri menerusi satu kenyataan rasmi dikeluarkan di Putrajaya hari ini:

“Saya telah dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang baginda telah menerima menghadap Penasihat PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Istana Bukìt Malut di Langkawi pada minggu lepas.

“Dalam pertemuan itu, baginda mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir.

“Walau bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong turut menjelaskan kepada Tun Dr. Mahathir bahawa baginda tidak boleh mencampuri usaha yang dibuat oleh PBBM.

“Ini kerana deklarasi yang dibuat oleh PBBM adalah tidak mengikut perlembagaan. Sebarang tindakan sepatutnya diuruskan menurut amalan lazim iaitu melalui Parlimen dan sistem pilihan raya bagi rakyat membuat keputusan mereka.“

Nampaknya Mahathir sedang ‘mempermainkan’ seluruh rakyat Malaysia dan Yang di-Pertuan Agong. Namun siapa yang sebenarnya bakal terluka dalam perkara serius ini jika bukan Mahathir sendiri. – Agensi