Sesuatu yang mengejutkan apabila murid yang sepatutnya menerima makanan berkhasiat pada awal pagi persekolahan hanya diberikan nasi kosong dengan lauk separuh potongan sosej.
Makanan tersebut dikatakan telah diberikan kepada murid di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sebuah sekolah di Pasir Mas, Kelantan.
Difahamkan, gambar tersebut dikongsi dan dimuat naik ke dalam laman sosial sejak semalam oleh seorang guru yang enggan identitinya didedahkan.
Guru tersebut mendakwa, murid yang menerima makanan RMT enggan mengambil makanan itu kerana tidak menyelerakan.
Isu tersebut menjadi hangat apabila ada netizen yang mempersoalkan tindakan Pejabat Pendidikan Daerah dan Kementerian Pendidikan seolah-olah tidak mempedulikan makanan yang sepatutnya diterima murid miskin tegar.
Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah menafikan dakwaan berhubung penyediaan makanan tidak berkhasiat dalam RMT kerana pihaknya sering memantau kualiti makanan dan mengikut nutrisi yang sudah ditetapkan.
Ab Aziz berkata, pegawainya akan memantau menu hidangan seperti yang ditetapkan iaitu nasi goreng Cina bersama lauk daging, tembikai dan air milo.
Beliau menjelaskan, hidangan tersebut diberikan pada waktu pagi dan ketika itu pengusaha kantin masih dalam proses penyediaan serta hidangan sosej tersebut adalah menu tambahan sumbangan pengusaha kantin sebagai galakan kepada murid.- Kedahnews.com