KUALA LUMPUR - Skuad berpasukan campuran negara melakar sejarah apabila dinobatkan juara selepas menewaskan Hong Kong 2-1 di final Kejohanan Skuasy Universiti Dunia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Ahad.
Sanjay Singh Chal yang turun sebagai pemain ketiga negara menjadi wira selepas berjaya menundukkan pemain Hong Kong, Wong Chi Him dalam perlawanan yang cukup mendebarkan setelah kedudukan terikat 1-1.
Beliau terpaksa bermain lima set sebelum mengesahkan kejuaraan milik Malaysia.
Sanjay cemerlang di set pertama apabila menang 11-8 sebelum tewas duaset berikutnya 4-11 dan 1-11.
Dia kemudian bangkit pada set keempat dan kelima dengan kemenangan 11-9dan 11-7.
Terdahulu, Ivan Yuen yang turun sebagai pemain pertama negara terpaksa akurdengan kekalahan di tangan Yip Tsz Fung apabila tewas straight set 11-6, 11-8,11-9.
Namun Malaysia bangkit apabila pemain perseorangan wanita, Low Wee Wern menyamakan kedudukan 1-1 dengan kemenangan mudah 11-5, 11-4, 11-5 ke atas Tong Tsz Wing dalam pertarungan selama 32 minit.
"Turun sebagai pemain ketiga yang juga sebagai penentu memang ada tekanan, namun selepas menang set pertama...saya seakan-akan hilang punca pada set kedua dan ketiga.
"Ketika rehat sebelum memulakan set keempat, jurulatih, Ong Beng Hee berkata kepada saya: "Apa yang anda lakukan? Anda bermain dalam perlawanan ini, jadi buktikan anda benar-benar layak beraksi untuk Malaysia di gelanggang ini," kata Sanjay.
Kemenangan itu memastikan tuan rumah menjulang kejuaraan itu buat pertama kali dalam sejarah kejohanan berkenaan.
"Secara peribadi saya merasakan prestasi skuad berpasukan ini sangat baik...semua pemain bermain bermati-matian dan status 'under dog' ini memberikan kelebihan buat kami mencipta kejutan di kejohanan ini," kata Sanjay.
Ini adalah pingat emas kedua negara selepas Wee Wern menyumbang emas pertama dalam acara perseorangan wanita Khamis lepas.
Selain itu, Malaysia turut meraih satu perak dan satu gangsa, masing-masing menerusi Ivan (perseorangan lelaki) dan Nazihah Hanis Abd Razak (perseorangan wanita). -Bernama