Masalah Air Tak Berulang Lagi Raya Ini - Badrol Hisham

GUAR CHEMPEDAK - Kerajaan negeri membuat persediaan awal bagi memastikan masalah bekalan air serius yang sering dihadapi penduduk setiap kali musim perayaan, tidak akan berulang pada Aidiladha ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, kerajaan negeri dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) sudah mengadakan perbincangan untuk mengambil langkah bersesuaian bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata, Sada kini bersedia dalam pelbagai aspek untuk memastikan semua penduduk mendapat bekalan mencukupi menjelang Aidiladha.

“Antara langkah akan diambil termasuklah membekukan cuti kakitangan Sada hingga Aidiladha bagi memastikan tiada masalah kekurangan kakitangan untuk menghantar air ke kawasan yang dikenal pasti berisiko terjejas.

“Kita fokus kepada keperluan air penduduk menjelang Aidiladha dan akan melipatgandakan penghantaran lori air ke kawasan dikenal pasti mempunyai masalah tekanan air rendah dan sering terputus bekalan, selain menyediakan juga tangki air statik di kampung terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah, Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS7) Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, di Kampung Guar Stesen Jalan Jenun, di sini, semalam.

Hadir sama, Adun Gurun, Datuk Dr Leong Yong Kong dan Penolong Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM Malaysia, Ahmad Izram Osman.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini, terdapat dua kawasan di negeri ini yang masih kritikal dalam masalah air iaitu di Merbok dan Kuala Nerang.

“Saya yakin kerajaan negeri akan mengambil langkah lebih dalam masa terdekat untuk memastikan penduduk di kawasan terbabit tidak terjejas dengan isu air ini.

“Saya juga akan mempengerusikan mesyuarat khas bersama Sada sebelum Aidiladha bagi memastikan semua perancangan dibuat berjalan lancar.

“Buat masa ini, saya berpuas hati dengan semua persediaan awal yang dibuat pihak Sada,” katanya.

Sumber: Sinar Harian