KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) memberi peringatan mana-mana negara yang tidak membenarkan demonstrasi bagi membantah pemimpin diadakan akan berakhir dengan peristiwa berdarah.
Presidennya, Mohamad Sabu atau lebih popular dengan gelaran Mat Sabu berkata, negara-negara yang berbuat demikian disifatkan sebagai diktator seperti yang berlaku di timur tengah.
“Demonstrasi atau tunjuk perasaan secara aman tidak akan membawa kepada huru hara atau malapetaka kepada mana-mana negara.
“Sebaliknya, negara-negara diktator yang tidak mengizinkan demonstrasi aman dan berakhir dengan peristiwa berdarah berlaku di negara-negara timur tengah.
“Oleh itu, sesiapa sahaja jangan cuba mengancam demonstrasi aman yang sering berlaku di Malaysia khasnya yang dianjurkan oleh pihak Bersih,” dakwanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Bersih yang diketahui umum sebagai kumpulan anti kerajaan mahu menganjurkan satu lagi demonstrasi secara besar-besaran pada bulan ini.
Dalam pengajuran Bersih 4.0 pada tahun lalu, sebilangan pesertanya bertindak biadap dengan mengadakan upacara memijak-mijak gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Perhimpunan anjuran Bersih turut disertai badan-badan yang memperjuangkan hak asasi melampau termasuk pendokong Lesbian, Gay Biseksual dan Transgender (LGBT).
Malaysia perlu membenarkan demonstrasi diadakan seperti di Thailand dan Hong Kong kerana ia tidak akan menjejaskan kehadiran pelabur. –Kedahnews.com