Maut Ditimpa Pokok Kelapa Sawit Di Nibong Tebal

NIBONG TEBAL – Seorang lelaki warga Nepal maut selepas sebatang pokok kelapa sawit tumbang menghempap pondok yang didiami mangsa dalam ladang kelapa sawit itu di MK 2, Jalan Tasek, Simpang Ampat dekat sini awal pagi semalam.

Mangsa Nuring Nabang, 20, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di bawah pondok yang dihempap pokok kelapa sawit setinggi 0.61 meter.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 4.30 pagi iaitu ketika hujan lebat dan angin kuat yang melanda kawasan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Azman Hussin berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.25 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira enam minit kemudian.

“Sebaik tiba kami mendapati pokok menghempap pondok berkenaan dan mangsa dalam keadaan tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini semalam.

Mohd Azman berkata pihak bomba mengambil masa kira-kira sejam bagi menjalankan kerja memotong dan membersih pokok kelapa sawit yang tumbang itu untuk mengeluarkan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan katanya lelaki warga Nepal itu dipercayai bekerja di ladang menternak ayam yang terletak dalam ladang sawit berkenaan.

“Mangsa dipercayai tinggal bersama beberapa pekerja lain di pondok itu bagaimanapun rakan-rakannya sempat menyelamatkan diri ketika kejadian berkenaan,” katanya.

Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

Seorang penduduk kampung di situ yang mahu dikenali sebagai Razali, 53, berkata beliau mengetahui kejadian berkenaan pada 9.30 pagi selepas dimaklumkan oleh seorang pekerja asing yang memberitahu rakannya tersepit selepas pondok mereka runtuh dihempap pokok kelapa sawit di situ.

“Kejadian berlaku awal pagi, namun pekerja asing lain yang turut tinggal di situ tidak dapat keluar dari pondok berkenaan kerana hujan lebat. Sebab itu mereka lambat memaklumkan kejadian tersebut. Setelah dimaklumkan saya terus bergegas ke pondok berkenaan,” katanya. – BERNAMA