Maya Karin Akui "Dilamar", Dalam Proses Kenal Hati Budi

Setelah kembali dengan status solo pada 2008 lalu, pelakon dan penyanyi jelita, Maya Karin memberitahu ada dalam kalangan kenalan lelakinya cuba ‘melamar’ dirinya.

“Saya tidak menafikan ada kenalan yang cuba mendekati, Januari lalu, dan mahu kami mencuba fasa hubungan yang lebih serius.

“Jujurnya, saya sendiri sukar untuk bercerita mengenainya, tetapi tidak salah kalau berkawan,” katanya, memetik BH Online.

Bagaimanapun, aktres yang pernah memenangi Festival Filem Asia Pasifik ke-49 memilih untuk berdiam diri kerana masing-masing masih dalam proses mengenal hati budi.

“Dia tiga tahun lebih tua daripada saya dan bukan daripada kalangan orang industri.”

Tambah bintang berusia 36 tahun ini, dia ingin mengelak daripada terlibat dengan cinta jarak jauh kerana dirasakan hubungan seumpama itu tidak serasi dengannya.

Terdahulu, heroin Ombak Rindu ini pernah dirisik oleh seorang lelaki misteri yang tidak dikenali melalui ibunya sewaktu dia bercuti di Jerman. –Kedahnews.com