Memperkasa Institusi Pondok - Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

Perubahan zaman dengan ledakan teknologi mak­lu­mat dan segala kepesatan pembangunan prasarana sudah tentu mempengaruhi pola pemikiran dan kehi­dupan masyarakat moden masa kini. Umat Islam juga tidak ter­ke­cuali dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran za­man yang memerlukan mereka bersaing agar tidak terpinggir mahupun dipinggirkan.

Sehubungan itu, sistem pendidikan dalam tradisi keilmu­an Islam seperti institusi pondok perlu diperkasakan agar mam­pu meneruskan legasi lampau dalam melahirkan gene­rasi barisan kepimpinan yang berkeupayaan menerajui dan memimpin umat mendepani cabaran zaman yang pel­bagai.

Hakikatnya institusi pondok merupakan institusi penga­jian Islam tradisional dalam masyarakat Melayu yang berkembang sejak abad ke-19 dan kekal sehingga memasuki abad ke-21. Sistem ini menjadi tunjang penyebaran Islam da­lam masyarakat Melayu berteraskan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, asas akidah as-Sya’irah dan mazhab fekah Imam Syafie.

Sejarah perkembangan institusi pondok di Malaysia ber­pusat di Semenanjung Tanah Melayu iaitu di Kelantan, Te­reng­ganu, Kedah dan Pulau Pinang. Konsep pengajian pondok adalah ringkas. Kuliah lazimnya dijalankan di masjid dan madrasah. Penampilan para pelajarnya juga amat sederhana, cukup sekadar mengenakan baju Melayu, kain pelikat dan serban putih di kepala.

Kurikulum pengajiannya me­rang­­kumi bidang tauhid, fiqah, Bahasa Arab, hadis dan tasawuf. Cara pengajarannya juga mudah iaitu pelajar-pelajar bersila menghadap tok guru. Ber­be­kalkan naskhah teks kla­sik di tangan, para pe­lajar men­dengar dan men­catat sya­rahan yang disampaikan tok guru. Syarahan hanya ber­kisar pada huraian bu­ti­ran isi kandungan dalam nas­khah teks klasik sama ada yang berbahasa Melayu Jawi mahupun teks klasik ber­bahasa Arab.

Tok Guru Pondok ialah da­­lam kalangan yang men­dapat pendidikan tidak for­mal secara menadah kitab di Timur Tengah seperti Mekah dan Yaman bahkan mereka turut berkelana mencari ilmu di selatan Thailand dan Indonesia.

Kepulangan mereka ke Kelantan, Terengganu dan Kedah kemudiannya membuka pusat-pusat pengajian pondok yang aktif menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat sekitar.

Secara peribadi, penulis sendiri berasal dari leluhur pengajian pondok kerana moyang dan datuk merupakan pengasas dan Tok Guru Pondok di Kelantan. Moyang dari sebelah nenek penulis ialah Tok Guru Haji Abdul Rahman bin Uthman atau lebih dikenali dengan nama Tok Selehor bersempena nama Kampung Selehor dalam daerah Tumpat.

Manakala datuk penulis pula ialah Tok Guru Haji Ahmad bin Haji Ismail atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Ahmad Batu Tiga. Arwah datuk mengasaskan pondok di Kampung Repek, Pasir Mas pada sekitar tahun 1920-an.

Menyemai

Dalam konteks ini, institusi pengajian pondok di Malaysia sebenarnya merupakan pusat yang menyemai manhaj wasa­tiy­yah dalam masyarakat. Wasatiyyah merupakan manhaj yang mewarnai dan memandu kefahaman akidah Ahli Sun­nah Wal Jamaah, fiqah mazhab Syafie dan pendekatan tasawuf al-Ghazali yang diajarkan di pondok-pondok.

Manhaj ini sentiasa mengajak umat Islam mempamerkan semangat toleransi, mengimbangi antara tuntutan aspek dunia dan akhirat serta sentiasa mengawal diri daripada terjerumus elemen yang ekstrem, liberal dan sesat.

Inilah teras manhaj wasatiyyah yang dibawa institusi penga­jian pondok dan yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Malaysia hari ini. Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda:
“Akan membawa (dan mewarisi) ilmu ini dari setiap generasi mereka yang benar-benar berwibawa. Mereka menolak dari ilmu itu penyelewangan orang-orang yang melampau, dakwaan orang-orang yang menyesatkan, dan tafsiran orang-orang yang jahil”. Hadith sahih riwayat at-Tabrani dan al-Baihaqi.
DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Namun, realiti hari ini menunjukkan pusat-pusat pengajian pondok semakin dilupakan, ketiadaan ulama generasi baru yang mewarisi kepimpinan pondok menyebabkan banyak institusi pengajian pondok terkubur.

Justeru, tiba masanya institusi pengajian pondok diperkasakan sesuai dengan arus pemodenan semasa. Pihak kerajaan juga dengan jelas mahukan institusi ini terus wujud bukan hanya sebagai benteng ketahanan akidah umat Islam bahkan sebagai warisan peradaban negara.

Proses permerkasaan institusi pondok memerlukan satu rangka pembangunan yang komprehensif. Kurikulum pengajian pondok memerlukan suntikan pembaharuan iaitu adunan antara ilmu naqli dan ilmu aqli.

Ilmu aqli adalah himpunan ilmu agama yang diwahyukan oleh Allah SWT melalui Rasulullah SAW dan dicerakinkan ilmunya oleh para ulama. Ilmu ini seperti syariah, usuludin dan bahasa Arab. Manakala ilmu aqli pula terbentuk bagi memakmurkan dan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada manusia di dunia. Ilmu ini adalah seperti ilmu sosial, kemanusiaan, sains, perubatan dan teknologi.

Institusi pengajian pondok perlu membawa elemen dan nilai integrasi antara ilmu naqli dan aqli dalam kurikulum pengajian jika mahukan satu pembaharuan dan lonjakan. Pembaharuan ini mampu memberikan satu lonjakan kepada pengajian pondok kerana membuka satu peluang yang menarik kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk mengikutinya.

Ini membolehkan pengajian pondok tidak lagi terikat dengan stigma bahawa pondok adalah satu tempat yang hanya menempatkan para pelajar ‘kelas ketiga’ yang gagal dan kecundang dalam bidang akademik.

Kekuatan institusi pondok adalah pada tradisi pengajiannya yang mengekalkan keaslian dalam pengajian Islam. Para pelajar yang menguasai pengajian berkemampuan tinggi memahami karya-karya besar para ulama silam dalam bahasa Arab. Naskhah-naskhah klasik yang diajarkan di pondok adalah teks-teks yang sama dikaji di Univeristi al-Azhar malah turut menjadi kajian para sarjana Barat di Universiti terkemuka dunia.

Usaha dan iltizam ini diharap dapat melahirkan generasi Ulul-Albab yang cemerlang pada masa hadapan serta berjaya menempatkan diri dalam pelbagai disiplin ilmu dan paling penting bersama-sama menyumbang dalam pembangunan dan kemajuan Islam di Malaysia.

Para alumni institusi pondok tidak boleh tercicir dalam proses ini. Mereka perlu mempunyai kekuatan dan kebolehan tersendiri yang dapat meneroka khazanah tradisi ilmu naqli dengan paduan ilmu aqli. Kekuatan ini sangat diperlukan dalam usaha berterusan untuk membina tamadun dan peradaban Islam di Malaysia yang berteraskan nilai dan citra warisan kita.

Sumber: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI/Utusan