Merdu Alunan Al-Quran Menenangkan Jiwa Dari Fatih Seferagic


VIRAL menerusi laman sosial alunan suara daripada seorang pemuda membaca Al-Quran saat menjadi imam yang sangat mengagumkan dan menyentuh hati.

Fatih Seferagic mencetuskan fenomena tersendiri kerana memiliki suara yang lunak dan merdu saat melantunkan ayat-ayat suci Al-Quran.

Baru sahaja berusia 21 tahun dan merupakan warganegara Bosnia meskipun dilahirkan di Jerman, Fatih dilahirkan pada Mac 1995 lalu.

Namun keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat semasa dia berusia 4 tahun dan pernah tinggal di Baltimore.

Pemuda tampan ini mula belajar menghafal Al-Quran sejak usianya menginjak sembilan tahun di Islamic Society of Baltimore, Maryland, di bawah tunjuk ajar Syeikh Qari Zahid dan Qari Abid.

Namun pada usia 15 tahun, dia kemudian berpindah ke Dallas selama 10 bulan untuk mempelajari bahasa Arab klasik menerusi program Bayyinah Dream dan kini menetap di Houston, Texas sebagai pelajar dan guru Al-Quran.

Meskipun memiliki bakat dalam mengaji, dia seperti kebanyakan remaja lain yang tidak lekang daripada memiliki akaun laman sosial. Setiap akaun yang dimiliki mempunyai lebih 100 ribu pengikut.


Rata-ratanya memuji kemerduan suara yang dimiliki selain mempunyai raut wajah tampan yang mampu membuat sesiapa sahaja tertawan.

Menerusi informasi di Instagramnya, Seferagic akan melawat Indonesia pada November akan datang dalam misi menyebarkan dakwah Islamiah ke seluruh dunia. –Kedahnews.com