Misha Omar Kongsi Nama Putera Sulungnya

Setelah 11 hari selamat melahirkan anak, penyanyi bersuara lunak, Misha Omar akhirnya sudi berkongsi nama dan gambar comel anak sulungnya dengan para peminat industri tanah air.

Bayi lelaki yang diberi nama Muhammad Idris Ezzwa ini juga dilaporkan telah dibenarkan pulang setelah beberapa hari diletakkan di bawah pengawasan doktor kerana tidak cukup bulan, malam tadi.

Dalam pada itu, Misha mengakui setelah bergelar seorang ibu, dia melalui pelbagai pengalaman yang menguji dirinya.

“Alhamdulillah, tiada yang lebih menggembirakan apabila doktor memaklumkan perkembangan kesihatan Idris bertambah baik dan dibenarkan pulang.

“Sepanjang seminggu lalu, saya melalui getir episod kehidupan baharu yang menguji kasih sejati seorang ibu.

“Biarpun mempunyai pengalaman membesarkan dua anak sebelum ini, namun banyak perkara baharu yang saya pelajari dan cuba fahami sejak kelahiran Idris.

“Saya bersyukur dipilih Allah untuk melalui pengalaman ini, membuatkan saya lebih menghargai amanah dan tanggungjawab sebagai ibu,” katanya, memetik BH Online.

Sementara itu, Misha memberitahu, doktor yang merawatnya turut menasihatinya agar tidak menerima kehadiran tetamu untuk memastikan bayinya bebas daripada masalah kesihatan.


“Saya memahami ramai yang ingin bersama meraikan kegembiraan ini apabila mendapat tahu saya sudah menimang cahaya mata.

“Saya menganggapnya sebagai doa, malah begitu terharu apabila menerima ucapan tahniah daripada semua. Hanya Tuhan yang mampu membalas semua itu.

“Cuma untuk sementara waktu, doktor menasihatkan saya supaya tidak menerima tetamu sehingga Idris benar-benar sihat dan membesar seperti bayi lain.

“Saya harap permintaan ini dipenuhi kerana saya mengutamakan kesihatan bayi yang begitu sensitif dengan persekitaran.”

Bagaimanapun kerana tidak mahu mengecewakan ramai peminat, Misha sudi berkongsi foto anaknya itu.

Pada 24 Ogos lalu, Misha selamat melahirkan bayinya di Hospital Canselor Tunku Mukhriz, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras.

Misha mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Firos pada 2 Mei 2014. Pasangan ini juga memiliki dua anak angkat iaitu Muhammad Adam Emir, 10, dan Humaira Lateefa, 4. – Kedahnews.com