LONDON – Seorang model wanita yang memiliki janggut sepanjang kira-kira 15 sentimeter dinobat perempuan berjanggut terpanjang di dunia, berdasarkan catatan terbaharu buku rekod Guinness World Records.
Model berkenaan dikenali sebagai Harnaam Kaur, wanita berusia 24 tahun, berasal dari Slough, 33 kilometer dari London, England.
Menurut sebuah laman berita antarabangsa, Kaur mengaku berasa ‘sangat terhormat’ apabila tercalon dalam rekod dunia tersebut.
Kaur terkenal sebagai seorang aktivis yang giat berkempen menanamkan sikap positif dalam kalangan masyarakat untuk menerima diri seadanya.
Hal itu sebagai usaha untuk melawan gangguan atau ejekan yang bertubi-tubi terhadap penampilan dirinya sendiri.
Tambah laman itu lagi, janggut yang tumbuh di sekitar wajah Kaur kerana mengalami sindrom ovari polisistik, keadaan hormon yang boleh menyebabkan pertumbuhan rambut muka yang berlebihan.
Malah sindrom yang dihidapinya itu bukan hanya melibatkan wajah sahaja, namun turut berlaku pada bahagian lengan dan dadanya.
Hasrat untuk menyimpan janggut bermula sejak tujuh tahun lalu dan mengubah sikapnya untuk lebih positif dengan keadaan dirinya.
Kaur merupakan wanita berjanggut pertama yang tampil menjadi model pada London Fashion Week bulan Mac lalu. –Kedahnews.com