Mohd Najib Ke Thailand Untuk Rundingan Tahunan Keenam

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan rasmi ke Thailand Jumaat ini bagi menghadiri Rundingan Tahunan Keenam dengan rakan sejawatnya Jen. Prayut Chan-o-cha.

Malaysia dan Thailand akan membincangkan pelbagai isu antaranya kerjasama keselamatan, perdagangan dan pelaburan, kesalinghubungan dan persempadanan, menurut kenyataan Wisma Putra hari ini.

Rundingan itu turut akan membincangkan kerjasama pertanian serta projek infrastruktur dan pembangunan ekonomi di kawasan sempadan.

“Sebagai jiran terdekat dan rakan dalam ASEAN, Malaysia dan Thailand sentiasa memastikan kerjasama yang erat dalam pelbagai sektor,” menurut kenyataan itu.

Rundingan tahunan kali ini merupakan yang pertama di antara Najib dengan Prayut Chan-o-cha.

Rundingan tahunan merupakan mekanisma penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara di mana rundingan tahunan yang kelima telah diadakan di Putrajaya pada 28 Feb tahun lalu.

Dalam lawatan itu, perdana menteri akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan beberapa menteri Kabinet serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Semasa di Thailand, Najib akan mengadakan mesyuarat terhad dengan Prayut Chan-o-cha dan diikuti dengan mesyuarat delegasi serta majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh perdana menteri Thailand dan isteri Naraporn Chan-o-cha.

Thailand merupakan rakan dagang Malaysia yang kelima terbesar di peringkat dunia dan kedua di ASEAN pada tahun lalu dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara sebanyak RM88.72 bilion (US$22.09 bilion). – BERNAMA