Namewee Padam Status Lepas Buat Tuduhan Tidak Benar Di FB?


Penyanyi rap kontroversi yang didakwa sering menimbulkan kemarahan umat Islam dan bangsa Melayu menerusi siri provokasi melalui karyanya dikatakan telah memadam tulisannya di Facebook yang didakwa menuduh pihak polis dengan dakwaan yang tidak benar.

Memetik laporan media pro-pembangkang, Malaysiakini.com, Namewee mendakwa dia ditempatkan bersama 15 pendatang asing Myanmar dan lokap yang menempatkannya itu dalam keadaan "buruk".

“Saya ditempatkan bersama kira-kira 15 pendatang asing Myanmar, yang sudah 30 hari dalam tahanan.

“Mereka ditahan di bilik kecil yang berkeadaan buruk dengan tiada sesiapa jamin keluar mereka.

“Mereka terperangkap di situ kerana majikan mereka telah lari dengan dokumen pengenalan mereka,” tulis Namewee.

Bagaimanapun, difahamkan status tersebut telah dipadam penyanyi rap berbangsa Cina itu.

Namun begitu, Ketua Polis Pulau Pinang, Abdul Ghafar Rajab sempat memberikan reaksi balas terhadap dakwaan Namewee dan mencabarnya supaya membuat laporan polis berkenaa dakwaan tersebut sekiranya dia benar serta ikhlas.

Katanya, pihaknya boleh melakukan siasatan seadilnya berkenaan tuduhan Namewee itu namun mengingatkan bahawa membuat laporan polis tentang sesuatu yang tidak benar juga bakal berdepan dengan tindakan sewajarnya dari pihak berkuasa.

Namewee sebelum ini ditahan sekembalinya dari luar negara susulan dari karya terbaru klip videonya bagi lagu “Oh My God” yang didakwa menghina agama Islam dan mencetus kemarahan umat Islam di negara ini. - Kedahnews.com