NAZA Hadiah Kia Sportage Buat Wira Paralimpik


KUALA LUMPUR – Pengerusi Naza Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin, hari ini mengumumkan ganjaran kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sportage kepada dua pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik, Rio Brazil.

SM Nasarudin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat terbabit adalah Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, dan kini turut berada di Brazil untuk menyaksikan atlet negara bertanding di temasya terbabit.

Sambil mengakui kejayaan yang dilakar atlet Paralimpik negara di Rio membanggakan, beliau berkata pingat emas yang sudah diraih atlet negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Muhammad Ziyad Zolkefli bukan saja memberi inspirasi kepada atlet, namun seluruh rakyat Malaysia.

“Saya amat berbangga dengan atlet Paralimpik Malaysia yang membawa pulang pingat emas.

“Sebagai syarikat tempatan, Naza akan menghadiahkan atlet Malaysia yang memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 dengan kereta serba baharu Kia Sportage setiap seorang,” katanya menerusi kenyataan dari Brazil, hari ini.

Setakat ini, Malaysia sudah mengumpul dua pingat emas menerusi Mohamad Ridzuan dalam acara pecut 100 meter T36 lelaki (cerebral palsy) dan Muhammad Ziyad Zolkefli melalui acara lontar peluru F20 lelaki.

Lebih membanggakan, kedua-dua kejayaan diraih di Stadium Maracana itu dengan mencipta rekod dunia dan rekod paralimpik.

Tahun ini adalah tahun pertama SM Nasarudin menerajui Majlis Paralimpik Malaysia.

Sumber: BH Online