Neelofa Selamat Berangkat Menunaikan Rukun Islam Ke-5

Usahawan, pengacara dan pelakon jelita popular, Neelofa dilapor telah pun selamat berlepas ke Tanah Suci Makkah bagi melaksanakan tuntutan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan ibadah haji, kira-kira jam 6 petang, pada Isnin.

Neelofa yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor turut ditemani kedua ibu bapanya.

Sementara itu, pengurusnya, Mohd. Amer Shafiq Khalip mengesahkan berita itu.

“Alhamdulillah impiannya untuk membawa ibu bapa menunaikan haji hampir menjadi kenyataan.

“Doakan semoga perjalanan Neelofa ke Tanah Suci dipermudahkan dan mendapat keberkatan Allah.

“Pesanan Neelofa kepada semua peminat, doakan dia selamat pergi dan kembali serta diberikan kekuatan melakukan haji mabrur,” katanya, memetik Harian Metro.


Sebelum ini, menerusi satu ruangan akhbar, Neelofa memberitahu, sepanjang dirinya di Tanah Suci, dirinya tidak akan lupa memohon segala urusan hidupnya diberkati Allah selain berdoa dipercepatkan bertemu jodoh.

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 27, dijangka pulang ke Malaysia pada 20 September depan.

Terdahulu, pelakon ini pernah mengarjakan umrah sebanyak dua kali. – Kedahnews.com