Negeri Sembilan Tak Gentar Bertemu Kedah Sabtu Ini

AKSI pertahanan tengah Negeri Sembilan, Mohd Nasriq Baharom (kanan) ketika bersaing dengan pemain Kuala Lumpur pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Selayang 9 September lalu. - Foto BERNAMA
SEREMBAN - Negeri Sembilan mendapat keyakinan baharu menjelang saingan suku akhir kedua Piala Malaysia selepas menewaskan Kuala Lumpur, dalam saingan Liga Perdana, di Stadium MP Selayang, Jumaat lalu.

Pertahanan tengah, Mohd Nasriq Baharom berkata, kemenangan ke atas Kuala Lumpur memberi tonik yang cukup baik buat pasukan yang bakal berhadapan tugas getir bertemu Kedah, di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Sabtu ini.

Katanya, dia yakin akan kemampuan pasukan itu dalam mendepani cabaran Kedah di gelanggang lawan, biarpun hanya berbekalkan satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama di gelanggang sendiri, awal bulan ini.

"Kemenangan ke atas Kuala Lumpur sudah pasti dapat memberikan suntikan semangat baharu kepada setiap pemain dalam membuat persiapan menghadapi cabaran menentang Kedah pada suku akhir kedua Piala Malaysia, Sabtu nanti.

"Saya yakin dan percaya keputusan positif itu sedikit sebanyak akan dapat menyumbang kepada usaha pasukan untuk mencipta kejutan menewaskan Kedah di Alor Setar nanti," katanya semalam.

Dalam perlawanan Jumaat lalu, Alex Smith dan Goran Jerkovic menjadi nadi penting buat Negeri Sembilan selepas masing-masing menjaringkan gol buat pasukan itu yang menewaskan Kuala Lumpur 2-1.

Nasriq yang juga bekas pemain FELDA United bagaimanapun berkata, pemain skuad Hobin Jang Hobin tidak boleh terlalu yakin dan menganggap mudah cabaran menentang Kedah, sebaliknya perlu berwaspada kerana reputasi skuad Helang Merah yang memiliki banyak kelebihan.

Menurutnya, satu daripada persiapan dan elemen penting yang perlu ada pada pemain Negeri Sembilan adalah kekuatan mental kerana Kedah bakal menurunkan ribuan penyokong yang akan membanjiri Stadium Darul Aman.

"Bagi pemain muda Negeri Sembilan mungkin ada kalangan mereka yang tidak biasa dengan suasana kegamatan penyokong lawan, oleh itu mereka perlu memiliki kekuatan mental yang tinggi untuk memastikan fokus terhadap perlawanan tidak terganggu.

"Saya berharap pemain bersiap sedia dari segala aspek kerana kemenangan ke atas Kedah, akan membolehkan kita mara ke separuh akhir sekali gus mungkin menjadi pengubat duka musim ini selepas pasukan gagal layak ke Liga Super musim depan," katanya.

Nasriq berkata, ini adalah landasan terbaik buat pasukan itu mencipta sesuatu

yang bernilai tinggi bagi saingan Liga Malaysia musim ini selepas semua sasaran yang ditetapkan, tersasar.

"Hanya tinggal saingan Piala Malaysia saja yang bakal menentukan hala tuju pasukan musim ini dan saya yakin setiap pemain dalam pasukan tidak mahu peluang yang ada tercicir.

"Semua pemain akan memberikan persembahan terbaik untuk memastikan impian mencipta kemenangan terhadap Kedah yang juga bekas juara Piala Malaysia musim lalu, tercapai," katanya.

Sumber: BH Online