PEMERGIAN Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din ke rahmatullah adalah kehilangan besar buat negara dan ummah.
Pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama signifikan untuk menggambarkan betapa besarnya peranan Allahyarham dalam menyebarkan dakwah dan memberikan perkhidmatan rawatan perubatan Islam. Ketokohan beliau disenangi oleh kawan dan lawan.
Untuk itu golongan pendakwah boleh mengambil iktibar dengan mencontohi kesungguhan dan dedikasi dakwah Allahyarham sehingga ke akhir hayatnya. Malah kesanggupan beliau menerima undangan dakwah dan membantu golongan memerlukan tanpa mengira habuan yang diterima serta jauh daripada mengejar populariti adalah ciri-ciri pendakwah sejati yang patut dicontohi.
Maka selain mencontohi sikap Allahyarham, pendakwah juga disarankan mempelbagaikan kaedah penyampaian dakwah khususnya untuk menarik golongan muda mengamalkan syariat. Ini kerana pendekatan dakwah melalui ceramah dan kuliah di masjid masih kurang mendapat sambutan. Justeru anjakan paradigma boleh dilakukan dengan menggunakan media sosial sebagai wadah untuk berdakwah.
Walau bagaimanapun pendakwah perlu terlebih dahulu mempelajari selok-belok penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi menyebar luaskan mesej dakwah dengan efisien. Malah dalam era globalisasi masa kini kemahiran ICT penting sebagai medium dakwah yang berkesan untuk menangkis fitnah dan usaha-usaha pihak tertentu memburuk-burukkan Islam dan umatnya.
Melalui kaedah ini juga sebaran dakwah dapat diperluaskan kepada golongan bekerjaya yang kemungkinan sibuk dengan tugasan seharian. Penggunaan aplikasi WhatsApp sebagai contohnya eloklah dimanfaatkan dengan semaksimum mungkin oleh pendakwah sekali gus mengimbangi lambakan mesej-mesej palsu, lagha dan tidak bermanfaat.
Selain itu pendakwah perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan luas dalam bidang agama atau setidak-tidaknya menguasai Bahasa Arab sebagai alat untuk menelaah sumber rujukan yang autentik lagi dipercayai. Kemahiran merujuk kepada karya asal dalam sesuatu disiplin ilmu tentunya memberi keyakinan ketika menyampaikan dakwah berbanding hanya merujuk kepada sumber sekunder dan terbiar sahaja.
Dalam masa sama pendakwah perlu sentiasa berusaha menjadi teladan kepada masyarakat. Ini direalisasikan dengan sentiasa berusaha memperbaiki kekurangan dan kelemahan diri sendiri.
Allah SWT berfirman maksudnya;
“Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? , (Itu) sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan”. (Terjemahan Surah al-Saf ayat 2-3).
Masyarakat pula diharap tidak mudah menggelar individu tertentu sebagai ustaz dan ustazah asal boleh bercakap sedikit sebanyak tentang agama sebelum menyelidiki latar belakang pendidikannya. Ini bagi mengelakkan golongan pendakwah yang ikhlas dan mahir dalam selok-belok agama ditimpa musibah dan fitnah akibat kesilapan masyarakat menilai antara batu dan permata. Lebih-lebih lagi dalam konteks masa kini terdapat pihak tertentu yang giat menyebarkan ajaran sesat dan mempunyai pengikut yang ramai tetapi terpedaya dalam usaha untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.
Sehubungan itu, masyarakat sepatutnya mendalami ilmu dan pengetahuan agama daripada guru-guru yang berwibawa dan boleh dipercayai. Dalam hal ini, tindakan pihak berkuasa agama negeri mensyaratkan pendakwah mendapat tauliah mengajar agama dilihat mampu mengekang penyebaran ajaran sesat yang mengelirukan orang ramai.
Dalam masa sama, kita perlu menyedari betapa golongan pendakwah bukan maksum. Pendakwah hanya mewarisi tugas anbia untuk berdakwah dan mengajak manusia kepada kebenaran. Sebagai manusia biasa pasti ada kekurangan dan kelemahan di sana sini.
Realitinya golongan pendakwah yang arif dalam pelbagai disiplin ilmu dan menepati ciri-ciri pendakwah tersohor zaman silam semakin sukar ditemui. Malahan dalam era moden masa kini pendakwah yang berjubah, berketayap dan berserban kemungkinan akan menyempitkan ruang lingkup dakwah. Akan tetapi pendakwah yang berkot dan bertali leher dan dalam masa sama mengekalkan keperibadian pendakwah terdahulu lebih mudah diterima di mana-mana.
Untuk itu, golongan pendakwah dan masyarakat perlu bersikap terbuka seiring dengan perubahan zaman. Masyarakat juga jangan menilai pendakwah berdasarkan pakaian dan gaya tertentu. Yang lebih penting adalah bagaimana pendakwah komited menyampaikan ilmu dan dakwah kepada segenap lapisan masyarakat agar masyarakat terdidik mengamalkan ajaran agama yang bertepatan dengan manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah yang hakiki.
Perlu juga diingat bahawa tugas dakwah tidak sewajarnya dibebankan kepada golongan ustaz dan ustazah semata-mata, tetapi semua pihak boleh memainkan peranan berdakwah mengikut kemampuan masing-masing. Ini seperti tugas amar makruf dan nahi mungkar yang selayaknya dilakukan oleh semua. Bagaimanapun dalam konteks berdakwah dengan ajaran dan hukum hakam agama perlu diserahkan kepada orang yang berkelayakan agar tidak bercanggah dengan syariat yang ditetapkan.
*MOHD. ALI MUHAMAD DON/PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor/Utusan