VIENTIANE – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama ketika ini berada di Laos dan ia cukup bersejarah kerana menjadi lawatan rasmi kali pertama ketua negara kuasa besar dunia itu ke negara Asia tenggara tersebut.
Beliau sebenarnya hadir selaku tetamu kehormat sempena Persidangan Kemuncak Tahunan ASEAN yang julung kali diadakan di Laos sebagai tuan rumah dan berakhir esok dengan upacara penyerahan jawatan negara pengerusi ASEAN berikutnya pula kepada Filipina.
Namun tidak sekadar sibuk dengan acara rutin penuh protokol ketat, Obama masih sempat lagi menziarahi sekumpulan mangsa yang selamat dalam 580,000 misi serangan melibatkan 2 juta bom tentera AS ketika Perang Vietnam meletus dari 1964 hingga 1973 lalu.
Susulan kunjungan itu, Obama menjanjikan bantuan berjumlah AS$90 juta atau 729 bilion kip Laos (kira-kira RM365 juta) dan dana khas itu bakal digunakan untuk membantu ratusan mangsa perang selain membiayai kerja pembersihan sisa-sisa bahan peledak tersebut.
Di samping sibuk dengan pelbagai jadual padat yang berbentuk perbincangan serius, dalam kunjungan ke negara ‘tanpa laut’ tersebut, Obama tetap lagi berpeluang ‘mencuri’ sedikit masa untuk dirinya sendiri menikmati kesegaran air buah kelapa muda tempatan.
Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan, peristiwa unik itu berlaku di laluan tebing Sungai Mekong di wilayah Luang Prabang pada 7 September lalu sebelum Obama dibawa mengunjungi candi purba Buddha terkenal dalam kalangan pelancong, Wat Xieng Thong.
Media menyatakan, meskipun hanya sebiji kelapa muda yang dinikmati Obama, ia sebenarnya sudah cukup untuk menjadi tanda betapa beliau benar-benar menikmati ‘percutiannya’ kali ini sebelum tempoh pentadbiran dua penggalnya berakhir pada hujung tahun ini.
Bahkan walaupun dikawal ketat oleh beberapa ejen keselamatan, beliau masih lagi rileks bergambar dengan penduduk tempatan yang turut terkejut dan berasa agak teruja melihat kehadiran Presiden AS itu secara ‘live‘ sambil mereka bersembang ringkas sebelum beredar.
Paling unik ‘acara’ tersebut yang turut ditemani Duta AS ke Laos, Daniel Clune, berlangsung spontan tanpa dirancang dan Obama juga kelihatan sabar menyaksikan seorang peniaga wanita memotong bahagian atas buah tersebut sebelum air buah tropika itu diminum.
Obama begitu santai dengan memakai kaca mata hitam menghirup air kelapa di tangannya. Setidak-tidaknya beliau kembali melonggarkan urat saraf setelah letih terlibat dalam perbincangan serius bersama-sama Presiden Rusia, Vladimir Putin. – Agensi