Ops Noda: Polis Cekup GRO Bangla Sekitar KL


TIGA buah pusat hiburan yang ‘dikuasai’ warga Bangladesh di sekitar Kuala Lumpur, telah diserbu oleh pihak polis dalam Ops Noda, awal pagi semalam.

Dalam tiga serbuan berbeza yang dilakukan bermula jam 1 pagi hingga 3 pagi itu, pihak polis telah menahan 25 individu.

Serbuan terhadap pusat hiburan yang menawarkan khidmat wanita rakyat Bangladesh sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ini dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, dalam serbuan pertama di Jalan Doraisamy, polis menahan 11 warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan yang merupakan pekerja pusat hiburan berkenaan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada lima lelaki bekerja sebagai pelayan, tiga wanita pelayan pelanggan (GRO) dan tiga lelaki dipercayai pelanggan, selain seorang lelaki tempatan bekerja sebagai penjaga premis.

“Dalam serbuan di pusat hiburan kedua di Jalan Doraisamy, polis menahan 10 individu terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita warga Bangladesh terdiri daripada GRO, pekerja dan pelanggan serta seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam serbuan ketiga di Jalan Yap Ah Shak, pihaknya telah menahan wanita warga Nepal dan lelaki warga India yang juga penari pusat hiburan itu, selain seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis.

Susulan itu, kesemua mereka ditahan kerana melanggar kesalahan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B dan Peraturan 11 (7) akta yang sama. – Kedahnews.com