KUALA LUMPUR – Seorang pembantu juruelektrik dipenjara satu hari serta didenda RM5,000 oleh Mahkamah Trafik di sini, hari ini, selepas dia mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan aksi mengangkat roda hadapan (wheelie) pada Julai lepas.
Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Faiz Tajuddin, 18, serta memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Faiz didakwa menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik warna merah/putih secara melulu sambil melakukan wheelie yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, antara jam 10.30 hingga 10.35 malam, 31 Julai lepas.
Dia didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik, Inspektor Hashimah Hashim memohon hukuman setimpal agar kesalahan sama tidak berulang di masa akan datang bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan denda yang minimum dengan alasan ibu dan bapanya sedang sakit.
Berdasarkan fakta kes, Muhammad Faiz ditahan selepas pihak polis yang melakukan Ops Jalan Raya di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, ternampak motosikal jenis Modenas Dinamik warna merah/putih ditunggang secara melulu dan merbahaya sambil melakukan aksi wheelie. – BERNAMA