PAN Desak Mahathir Minta Maaf, Tidak "Keras Kepala"


ALOR SETAR - Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas segala 'dosa' dan salah lakunya sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Naib Ketuanya, Shazni Munir menegaskan bahawa rakyat Malaysia sedia memaafkan Mahathir atas segala kesalahannya itu sekiranya mantan Perdana Menteri itu tidak terus menunjukkan sikap 'keras kepala'.

Shazni Munir (kiri)
"Jika beliau boleh memohon maaf kepada Raja-Raja Melayu, rasanya tidak susah untuk beliau memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia.

"Ya, rakyat sedia menerima (permohonan maaf) jika Mahathir tidak terus keras kepala," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shazni berkata, permohonan maaf secara terbuka oleh Mahathir itu merupakan salah satu cara untuk membuktikan keikhlasan beliau yang buat pertama kali bertemu dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak 18 tahun bermusuhan.

Cara kedua yang dituntut Shazni adalah supaya Mahathir hadir memberi sokongan kepada Ketua Umum PKR itu dalam perbicaraan kes jenayah 'liwat 2'.

"Pemuda Amanah (PAN) berpandangan Mahathir perlu membuktikan kejujuran beliau melalui dua kaedah.

"Menghadiri perbicaraan kes 'Liwat 2' melibatkan mantan timbalannya itu dan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia atas cela laku sepanjang beliau memimpin kabinet Malaysia," tegasnya lagi.

Dalam kenyataannya, Shazni turut mengaitkan Mahathir dengan beberapa tindakan 'zalim' seperti tragedi Memali, tangkapan terhadap pemimpin pembangkang dalam Operasi Lalang 1987 dan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ketika berkuasa.

Semalam, Mahathir yang merupakan Perdana Menteri paling lama berkuasa di Malaysia membuat kejutan apabila hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Anwar menghadapi hukuman penjara selama lima tahun selepas mahkamah persekutuan pada Februari 2015 mengekalkan sabitan bersalah terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.


Ia merupakan tuduhan liwat kedua membabitkan Anwar selepas menghadapi tuduhan sama ketika era Mahathir, yang menyaksikan beliau dipecat Mahathir dari sebarang jawatan dalam UMNO dan kerajaan.

Mahathir sebelum ini turut menuduh Anwar sebagai peliwat dan seorang yang langsung tidak boleh dipercayai selepas mengaibkan bekas Timbalannya itu dengan pelbagai tuduhan sehingga menyebabkan negara kuasa besar dan media asing mengkritik bekas Perdana Menteri itu sebagai 'diktator' dan zalim.

Selain insiden 'mata lebam', para penyokong Anwar yang terkenal dengan slogan 'reformasi' sekitar tahun 1998 juga melabel Mahathir sebagai 'Maha Firaun' dan 'Maha Zalim', serta melakukan demonstrasi jalanan secara besar-besaran.

Setelah bersara, Mahathir masih tidak memohon maaf terhadap Anwar namun mengaku beliau melakukan pentadbiran 'ala diktator' selama 22 tahun berkuasa di Malaysia sebelum ini. -Kedahnews.com