PAN Sedia Hadapi PRN Mengejut Walau Berdepan PAS

SHAH ALAM - Senada dengan DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dilaporkan sedia menghadapi pilihan raya mengejut di Selangor walaupun parti itu terpaksa bertanding secara tiga penjuru dengan PAS dalam persempadanan kawasan yang akan dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad cadangan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor wajar ditolak sekiranya cadangan persempadanan baru oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mendapat persetujuan.

"Jika persempadanan baru ditolak dan PAS masih mahu pertandingan tiga penjuru, masih ada harapan untuk kekalkan Selangor di bawah kepimpinan Pakatan Harapan.

"Tetapi sekiranya persempadanan baru dikuatkuasakan dan PAS bertanding secara tiga penjuru, maka hampir tiada harapan untuk selamatkan Selangor dari Barisan Nasional (BN)," katanya dalam satu sidang media, hari ini.

Selain itu katanya, cadangan pembubaran DUN Selangor perlu ditolak sekiranya PAS setuju untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan tidak mengadakan pertandingan tiga penjuru dalam menghadapi pilihan raya.

SPR sebelum ini dikritik parti-parti politik pembangkang, termasuk UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional.

DAP kemudian mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali supaya membubarkan DUN di negeri itu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) secara mengejut, namun ditentang oleh PKR Selangor.

Semalam, SPR menjelaskan bahawa persempadanan semula yang dibentangkan itu hanyalah merupakan cadangan yang belum muktamad dari badan suruhanjaya bebas berkenaan dan mereka terbuka untuk menerima sebarang bantahan dari mana-mana pihak. -Kedahnews.com