Pandang Serius, Polis Masih Siasat Video Viral

BENTONG - Polis memandang serius tindakan berbahaya beberapa pengguna jalan raya yang duduk di bingkai pintu kereta dipercayai sambil berselfie di Jalan Genting Highlands seperti diviralkan di media sosial, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan S Somu berkata, pada masa ini siasatan masih giat dilakukan termasuk mengenal pasti individu terbabit dalam kejadian itu.

Menurutnya, kejadian dipercayai melibatkan tiga penumpang wanita yang duduk di atas bingkai pintu dipercayai semasa kenderaan sedang bergerak ke puncak Genting Highlands.

“Setakat ini polis masih belum menerima sebarang laporan berkaitan rakaman ini tetapi berdasarkan pengamatan, laluan dipercayai di daerah Bentong,” katanya.

Menurut Somu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara berbahaya.

Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Peraturan 4A Kaedah-kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) 1978 bagi penumpang kerana tidak memakai tali pinggang keledar.

“Kita minta individu yang merakam kejadian ini supaya tampil memberi maklumat untuk membantu siasatan menerusi talian 012-7045464,” katanya.

Sumber: Sinar Harian