PAS Dakwa Ada Parti Cuba Gagalkan Pindaan Akta 355

KUALA TERENGGANU – Parti tertentu didakwa bersungguh-sungguh untuk mencari kelemahan berhubung pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016) dengan tujuan untuk menggagalkan pelaksanaannya di negara ini.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abd Rani berkata, segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan Pas akan menggunakan pelbagai pendekatan mewujudkan persepsi salah kepada rakyat.

Azman Shapawi berkata, mereka disifatkan berpolitik kerana RUU itu dibentangkan oleh wakil rakyat Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan mencari ruang untuk menimbulkan persepsi kurang baik dalam kalangan rakyat.

“Mereka bersikap politik, kalau orang lain yang buat (bentang RUU) bukan daripada kita (Pas), tidak mengapa tetapi kalau kita, mereka rasa tidak betul. Ada parti yang bersungguh-sungguh cari kelemahan untuk menolak RUU itu,” katanya, di sini.


Beliau bagaimanapun tidak menyebut parti terbabit yang dimaksudkan namun memberitahu bahawa pembentangan pada sidang Dewan Rakyat Oktober depan akan memberi peluang kepada semua pihak membahaskan perkara itu.

Menurutnya, semua pihak termasuk yang tidak berpuas hati boleh mengambil bahagian untuk membahaskannya dengan hujah masing-masing.

“Insya-ALLAH, ia akan dijawab oleh Ahli Parlimen Marang dengan hujah yang ada. Ini juga membuktikan kita mengikut saluran yang betul, bukannya melalui pintu belakang,” katanya.

Di samping itu, beliau turut memberitahu bahawa persepsi salah berhubung pembentangan itu juga berpunca daripada ketidakfahaman individu berhubung perkara berkait.

Beliau turut membetulkan persepsi bahawa ia bukanlah pelaksanaan hukuman hudud sebaliknya menegaskan RUU tersebut bertujuan memartabatkan bidang kuasa mahkamah syariah bagi membolehkan hukuman sedia ada dipertingkatkan.

Menurutnya, pindaan sebegitu turut berlaku kepada hukuman-hukuman melibatkan kes-kes jenayah berat dalam negara termasuk dadah dan juga Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini.

“Pindaan RUU Akta 355 ditingkatkan daripada yang rendah kepada tinggi. Ia bukan hudud kerana hukuman hudud adalah potong tangan bagi kesalahan mencuri, melibatkan hukuman rejam dan pancung bagi murtad. Yang ini bukan hudud, hudud perlu sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen sedangkan yang ini bertujuan untuk tingkat hukuman berbanding sedia ada,” katanya.

Sumber: Sinar Harian