PAS Dakwa Persatuan Hokkien Tak Buka Ruang Dialog


KUALA LUMPUR – PAS mendakwa Persekutuan Persatuan Hokkien tidak mengambil kesempatan untuk memahami tentang pindaan Akta355 sewaktu perbincangan diadakan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Persekutuan Persatuan Hokkien tidak bertanya mahupun mengemukakan pandangan mereka serta berdialog dengan wakil PAS dalam pertemuan kelmarin bagi memahami kedudukan sebenar isu Pindaan Akta 355.

“Sewajarnya kunjungan PAS ke Pejabat Persekutuan Persatuan Hokkien tempohari diambil kesempatan sepenuhnya untuk bertanya mahupun mengemukakan pandangan mereka serta berdialog.

“Namun malang, mereka tidak membuka ruang dialog dan tiada sebarang pertanyaan diajukan sedangkan Presiden PAS memberi penerangan dengan bahasa yang sangat mudah dan terus kepada subjek perbincangan secara jelas,” dedahnya dalam satu kenyataan media semalam.

Nasrudin berkata, PAS bagaimanapun menawarkan dialog berterusan dengan Persekutuan Persatuan Hokkien bagi memahamkan mereka tentang usaha meminda Akta 355 yang bertujuan memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di negara ini.

“Presiden Persekutuan Persatuan Hokkien, Datuk Khoo Chai Kaa menegaskan beliau masih tidak memahami penjelasan yang telah diberikan dan berhasrat akan tetap meneruskan kempen sejuta tandatangan bagi membantah pindaan Akta 355.

“Kami bagi pihak PAS, InsyaAllah tidak akan pernah penat untuk terus membuka ruang dan peluang dialog serta penerangan kepada Persekutuan Persatuan Hokkien sehingga mereka benar-benar memahami isu pindaan Akta 355 ini.

“Janganlah bertindak dan membuat penentangan terhadap Islam mahupun Pindaan Akta 355 tanpa memahami apakah kedudukannya yang sebenar kerana ia merendahkan moral dan peribadi,” katanya.

Portal berita pembangkang semalam melaporkan Persekutuan Persatuan Hokkien akan tetap meneruskan kempen sejuta tandatangan bagi membantah pindaan Akta 355 yang sedang diusahakan PAS di Parlimen.

Persekutuan Persatuan Hokkien mendakwa kononnya mereka tidak memahami penerangan yang diterangkan oleh Presiden PAS mengenai pindaan akta itu semalam. - Kedahnews.com