MARANG – PAS sekali lagi berikrar untuk tidak sesekali bekerjasama dengan bekas rakan sekutunya DAP walau dengan apa cara sekalipun termasuk cadangan dari parti pembangkang tentang strategi satu lawan satu menentang Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14 nanti.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa DAP merupakan parti yang jelas menentang agenda Islam di negara ini dan perkara tersebut sekaligus menjadi punca utama PAS enggan lagi bersama parti berkenaan.
“DAP mungkin tidak kerana sikap parti itu yang menentang Islam. Tiada kerjasama (baru) dengan DAP.
"Kalau kemungkinan (gabungan baru dengan parti pembangkang lain menentang BN) juga kita tidak boleh jawab. Kita akan lihat parti lain (dahulu). Kita tidak (mahu) mengulangi senario lama. Akan dikaji,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lebih tegas kali ini, Abdul Hadi turut menjelaskan bahawa PAS juga tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang menjalin kerjasama dengan DAP, dipercayai merujuk kepada PKR, PAN dan parti baru, PPBM yang 'mesra DAP'.
“Pas tidak akan bekerjasama dengan DAP, juga dengan parti yang bekerjasama dengan DAP,” tegasnya.
PAS sebelum ini pernah bekerjasama dengan DAP pada 2008, namun bertindak memutuskan hubungan dengan parti itu tahun lalu.
DAP dikatakan telah cuba "mengatur" kepimpinan PAS pada pemilihan parti itu dalam satu muktamar yang berlangsung di Johor Baru sebelum ini yang menyaksikan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan rakan-rakannya tewas teruk.
Tidak berpuas hati dengan kekalahan di tangan "geng ulama" tersebut, Mohamad atau lebih dikenali dengan Mat Sabu telah menubuhkan sebuah parti baru, PAN, yang sangat akrab dengan DAP dan PKR, serta kemudiannya membentuk Pakatan Harapan, tanpa penyertaan PAS.
Selain itu, DAP secara berterusan menyerang kepimpinan baru PAS dan menyifatkan Abdul Hadi sebagai seorang "pengkhianat" dan menuduh PAS sebagai punca Pakatan Rakyat berkubur.
Ramai pemerhati politik dan akar umbi PAS sebelum ini mengkritik dengan menyifatkan PAS sebagai "kuda tunggangan" DAP sejak menjalin kerjasama sejak 2008, selain mendakwa parti itu juga telah dirosakkan dari dalam oleh golongan "Anwarinas". - Kedahnews.com