PASAK Kesal Pandangan Mufti P. Pinang Anggap Syiah Sebahagian Islam

Presiden Pertubuhan Kebajikan Asatizah Kebangsaan (PASAK), Mohd Khalil Munawwar Ahmad Masduki
ALOR SETAR - Sebuah NGO berdaftar yang terkenal aktif menentang fahaman Syiah di negara ini terkejut dan terkilan dengan kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang mengatakan Syiah masih tergolong dalam Islam, baru-baru ini.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Asatizah Kebangsaan (PASAK), Mohd Khalil Munawwar Ahmad Masduki menegaskan bahawa Syiah merupakan satu fahaman yang jelas menyimpang dari agama Islam dan telah difatwakan sebagai sebuah ajaran sesat.

"Walaupun beliau menegaskan kita tidak boleh mengkafirkan sesiapa namun dari aspek fahaman dan amalan Syiah jelas menyimpang bahkan terkeluar dari agama Islam.

"Ini dibuktikan dalam kitab-kitab ulama Syiah menyatakan beberapa fatwa dan pandangan yang jelas mengenai kekufuran Syiah terhadap ALLAH dan Rasul," tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru itu, Mohd Khalil Munawwar menggesa para ulama di negara ini supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan berkaitan isu akidah kerana ia boleh mengelirukan umat Islam di Malaysia.

Selain itu, beliau turut bimbang sekiranya kenyataan tersebut dimanipulasi pihak tertentu dalam usaha  mengembangkan ajaran bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), khususnya fahaman Syiah yang difahamkan kian berkembang dalam diam di Kedah.

Katanya, PASAK berharap agar semua Jabatan Mufti di setiap negeri lebih peka dan prihatin terhadap usaha penyebaran Syiah yang semakin membimbangkan kini.

Tegasnya lagi, muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menegaskan Syiah adalah haram untuk diikuti, disebarkan atau diamalkan di negara ini.

"Fatwa pengharaman ini harus diikuti dan disepakati bersama oleh mufti setiap negeri tanpa perlu wujudnya percanggahan pendapat, kelak menimbulkan perselisihan dan perpecahan sesama umat Islam," katanya.

Wan Salim dalam sebuah portal baru-baru ini dilaporkan mendakwa aliran Syiah tetap sebahagian daripada Islam walaupun ada perbezaan besar dengan ASWJ.

Beliau dipetik berkata, sikap saling mengkafirkan atas perbezaan mazhab itu hanya bermanfaat kepada pihak yang mahu mengaut keuntungan melihat Islam berpecah.

Sementara itu, Mursyidul Am PASAK dan pendakwah terkenal, Abdullah Din turut menegaskan bahawa golongan Syiah sepatutnya disifatkan sebagai bukan Islam apabila mencerca para sahabat Rasulullah SAW.

Jelasnya, walaupun pengikut fahaman Syiah juga mengerjakan ibadah seperti solat, berpuasa, mengerjakan haji dan membayar zakat, sama seperti ASWJ, namun mereka juga mengkafirkan para sahabat Rasulullah dan ummul mukminin, Sayyidatina Aishah RA.

"Islam kah mereka yang memaki hamun Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sayyidina Umar Al-Khattab, Sayyidina Uthman Affan dan Sayyidatina Aishah. Golongan yang cerca para sahabat tidak boleh diberi ruang sekiranya mahu Islam terpelihara," jelas beliau.

Menurutnya lagi, pandangan yang mendakwa kononnya Syiah itu sebahagian dari Islam dan bebas disebarkan menerusi media mampu mengelirukan masyarakat termasuk mempengaruhi pemikiran ramai golongan muda.

"Kita perlu peka terhadap perkara yang boleh membatalkan akidah. Mereka terkeluar dari Islam jika melakukan perkara yang membatalkan Islam," katanya, kesal dengan pandangan tersebut.

PASAK merupakan sebuah NGO anti-Syiah yang aktif menentang fahaman songsang itu dan konsisten memberi penerangan kepada umat Islam tentang bahaya fahaman Syiah yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. - Kedahnews.com