Pasangan Kekasih Lepas Gian Atas Lori Di Kuala Muda

Lori muatan perabot yang dijadikan port menagih dadah oleh pasangan kekasih.
SUNGAI PETANI - Tindakan sepasang kekasih yang menjadikan sebuah lori muatan perabot sebagai port menagih dadah terbongkar selepas diserbu anggota Unit Penguatkuasaan dan Keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda dalam satu operasi di sekitar kawasan Kuala Muda, 30 Ogos lalu.

Pengarah AADK Kedah, Mohamad Nazer Mustafa berkata, lori itu juga dijadikan tempat tidur pasangan kekasih berkenaan.

“Mereka dipercayai melakukan kerja ini sejak beberapa bulan lalu. Masing-masing berasal dari Flat Paya Nahu dan Taman Seri Bayu,” katanya, semalam.

Operasi yang bermula sekitar jam 12 tengah malam dan berakhir jam 6 pagi itu turut menahan lapan lelaki dan seorang wanita.

Lokasi serbuan yang terlibat ialah Taman Lembah Permai, Taman Seri Bayu, Taman Batik, Kampung Baru Pinang Tunggal, Kampung Belakang Mahkamah Gurun dan di sebuah syarikat perabot yang terletak di kawasan bandar Sungai Petani.

Mohamad Nazer berkata, operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat keluarga dan orang ramai.

"Dalam risikan selama tiga hari, kita berjaya mengesan aktiviti mereka yang terlibat penagihan dadah di beberapa lokasi serbuan," katanya.

Katanya, dalam serbuan lain, di sebuah rumah di Kampung Belakang Mahkamah Gurun, pihaknya menahan dua lelaki yang cuba melarikan diri ke dalam semak samun di belakang rumah mereka.

"Walaupun suspek menggunakan pelbagai helah dengan cubaan menyembunyikan diri di bawah sekeping zink, namun tindakannya berjaya dihidu anggota penguatkuasaan.

“Dalam serbuan lain, kita turut ditahan seorang wanita berstatus janda anak tiga.

“Kesemua, suspek yang ditahan berusia 22 tahun hingga 31 tahun positif dadah jenis opiat dan methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

“AADK tidak akan berkompromi dengan mana-mana penagih kerana mereka perlu ditangkap sebagai langkah memulihkan mereka semua,” katanya.

Sumber: Sinar Harian